Advertisement

Hari Terbuka Mahasiswa X Bizz Fest UMPSA 2026 Semarakkan Budaya Berpersatuan Dalam Kalangan Mahasiswa

Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu

Paya Besar, 17 Oktober – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh usaha pembangunan mahasiswa menerusi penganjuran Hari Terbuka Mahasiswa X Bizz Fest UMPSA 2026 yang menjadi platform memperkenalkan pelbagai kelab dan persatuan mahasiswa, di samping menggalakkan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum berpandukan lapan teras pembangunan mahasiswa.

Penganjuran program ini menghimpunkan sebanyak 145 reruai pameran yang melibatkan kelab, persatuan, badan beruniform serta Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UMPSA.

Kepelbagaian reruai yang disediakan memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendapatkan maklumat secara terus berkaitan fungsi, aktiviti, program serta peluang keahlian yang ditawarkan oleh setiap kelab dan persatuan di universiti.

Program ini turut dimeriahkan dengan penyertaan hampir 30 vendor terpilih yang membuka ruang jualan sepanjang penganjuran berlangsung, sekali gus memberikan suasana lebih meriah dan menarik warga kampus untuk hadir serta berinteraksi di sekitar kawasan program.

Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim bin Mohamed, yang berkesempatan mengunjungi serta meninjau reruai kelab dan persatuan mahasiswa yang mengambil bahagian.

Program yang berlangsung selama dua hari ini membuka ruang kepada mahasiswa, khususnya mahasiswa baharu, untuk mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian kelab dan persatuan yang terdapat di UMPSA.

Selain mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti dan keahlian, mahasiswa turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil kelab dan persatuan bagi mengenal pasti bidang serta aktiviti yang bersesuaian dengan minat dan potensi diri masing-masing.

Penganjuran ini turut menjadi platform dalam menyemarakkan budaya berpersatuan dalam kalangan mahasiswa, selain menggalakkan mereka mengembangkan potensi diri, membina kemahiran kepimpinan, meningkatkan keyakinan serta memperkukuh kemahiran komunikasi melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kampus.

Secara keseluruhannya, Hari Terbuka Mahasiswa X Bizz Fest UMPSA 2026 diharap dapat terus memperkasa keterlibatan mahasiswa dalam kehidupan kampus, sekali gus melahirkan mahasiswa yang lebih aktif, berdaya saing, berkepimpinan dan mempunyai jaringan sosial yang kukuh selaras dengan aspirasi pembangunan mahasiswa UMPSA.

Total Views: 26