KUALA TERENGGANU, 21 Oktober 2026 – Seramai 40 mahasiswa Performing Arts Leadership (PEARL) dan 10 alumni pimpinan PEARL Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal berganding bahu menyertai Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 yang bakal berlangsung pada 23 hingga 26 Oktober 2026.
Perancangan dan gerak kerja bersama Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan pemimpin komuniti setempat diterjemahkan melalui pelabelan UA Zon Timur@Kg Pasir Panjang Laut yang mencerminkan semangat kebersamaan, kesinambungan kepimpinan serta komitmen PEARL dalam memartabatkan seni dan budaya, di samping memperkukuh hubungan antara generasi mahasiswa dan komuniti.
Menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan dan aktiviti festival, mahasiswa PEARL berpeluang menyerlahkan bakat, mengembangkan kreativiti serta menimba pengalaman baharu dalam arena seni dan budaya. Penglibatan alumni pimpinan pula menjadi nilai tambah dalam memperkukuh semangat berpasukan, perkongsian pengalaman dan sokongan terhadap generasi pelapis.
Selain penyertaan mahasiswa PEARL, Pesona FM turut terlibat dalam program berkenaan sebagai platform media yang menyokong penyebaran maklumat dan pengembangan bakat mahasiswa dalam bidang seni, komunikasi serta penyiaran.
Seluruh warga dan mahasiswa Pusat Kesenian dan Warisan (PKW) UniSZA merakamkan ucapan selamat maju jaya kepada semua peserta yang bakal membawa nama universiti dalam festival tersebut. Diharapkan penyertaan ini bukan sahaja membuahkan kejayaan dalam pertandingan, malah menjadi pengalaman bermakna yang memperkukuh jati diri, kepimpinan dan kecintaan terhadap warisan seni budaya.
Penyertaan ini turut membawa aspirasi PEARL untuk terus berkembang sebagai sebuah keluarga seni yang mengutamakan kebersamaan, kesetiaan dan legasi, selaras dengan semangat melahirkan ‘Future Caliph’ yang versatil serta berdaya saing.

PEARL: Bersama Mengangkat Seni, Menyambung Legasi!
Future Caliph, Demi UniSZA!
#PULARA2026 #PKWUniSZA #HEPAUniSZA #DemiUniSZA #UniSZA #PesonaFM #PesonaTV #PEARLTravel #PearlDigitalStudio














