Advertisement

FISO 1.0: Faith in Action – Building Better Students Memperkasa Pembangunan Diri dan Integriti Mahasiswa

Oleh : Nur Aisyah Batrisyia Nuri

TANJONG MALIM, 20 OKTOBER 2026 – Mengangkat kepentingan pembangunan diri, integriti dan kepimpinan beretika dalam kalangan mahasiswa, Program FISO 1.0: Faith in Action – Building Better Students anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh Sidang 2026/2027, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah berjaya dilaksanakan pada 20 Oktober 2026 (Selasa), dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam secara dalam talian. Program ini memfokuskan kepada pemeliharaan kesejahteraan mahasiswa serta pembangunan sahsiah melalui perkongsian ilmu dan pengalaman yang bermakna.

Poster Program

Program yang menampilkan Dr. Bagus Riyono dari Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia, sebagai penceramah jemputan ini telah menerima penyertaan seramai 2160 orang peserta, sekali gus membuka ruang perkongsian ilmu dan pertukaran perspektif dalam kalangan mahasiswa daripada latar belakang yang berbeza.

Lebih membanggakan, program ini turut mendapat penyertaan antarabangsa daripada mahasiswa di Indonesia, Pakistan dan China, selain penglibatan mahasiswa daripada universiti awam tempatan, termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kepelbagaian penyertaan ini memperlihatkan potensi platform digital sebagai medium yang menghubungkan komuniti mahasiswa merentas sempadan geografi, sekali gus memperluas jaringan akademik dan perkongsian pengalaman antara institusi.

Barisan urus setia bertugas sepanjang program berlangsung.

Berteraskan tema Faith in Action, FISO 1.0 membawa mesej bahawa pembangunan mahasiswa tidak seharusnya terbatas kepada pencapaian akademik semata-mata. Sebaliknya, mahasiswa perlu dilengkapi dengan kekuatan jati diri, kematangan emosi, nilai moral dan integriti bagi menghadapi realiti kehidupan yang semakin kompleks. Program ini menekankan bahawa kejayaan sebenar turut bergantung pada keupayaan seseorang mengenali potensi diri, membuat keputusan yang bertanggungjawab dan menerjemahkan nilai positif dalam tindakan seharian.

Secara keseluruhannya, FISO 1.0: Faith in Action – Building Better Students membuktikan bahawa usaha membentuk mahasiswa yang holistik memerlukan perhatian terhadap aspek intelektual, emosi, etika dan pembangunan karakter. Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada mahasiswa. Bukan sahaja menimba ilmu, tetapi turut mengamalkan nilai yang dipelajari dalam kehidupan seharian, kepimpinan organisasi dan interaksi bermasyarakat. FISO 1.0 bukan sekadar sebuah program perkongsian ilmu, tetapi satu langkah ke arah membina generasi mahasiswa yang lebih sedar akan nilai diri, teguh dengan prinsip dan bersedia membawa perubahan.

Barisan Ahli Jawatankuasa yang telah berjaya melaksanakan Program FISO 1.0:
FAITH IN ACTION — BUILDING BETTER STUDENT

Pengarah Program, Nur Aisyah Batrisyia binti Nuri, menzahirkan rasa syukur atas kelancaran penganjuran FISO 1.0 serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Beliau berharap agar perkongsian ilmu yang disampaikan dapat memberikan manfaat kepada para peserta dan menjadi pemangkin kepada pembentukan mahasiswa yang berintegriti, berdaya saing serta mampu mengamalkan nilai positif dalam kehidupan seharian.

Total Views: 35