Advertisement

Gastrome Team UTHM raih pengiktirafan di TAHIFEX Thailand Ultimate Chef Challenge (TUCC) 2026

Oleh: En Afif Naim bin Abd Rani

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melakar kecemerlangan di peringkat antarabangsa apabila GASTROME TEAM UTHM berjaya meraih pelbagai pengiktirafan dalam THAIFEX Thailand Ultimate Chef Challenge (TUCC) 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand dari 26 Mei hingga 2 Jun 2026 yang lalu.

Penyertaan ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kemahiran teknikal, kreativiti kulinari serta daya saing pelajar dalam bidang hospitaliti dan seni kulinari.

Pasukan UTHM yang diiringi oleh Chef Afif Naim telah menghantar 12 orang pelajar untuk bertanding dalam pelbagai kategori kulinari yang melibatkan penyediaan hidangan mengikut standard industri dan pertandingan antarabangsa.

Sepanjang pertandingan berlangsung, para peserta berpeluang mempamerkan bakat, kemahiran serta inovasi kulinari di hadapan juri profesional yang terdiri daripada pakar industri dari pelbagai negara.

Pertandingan berprestij ini menghimpunkan peserta dari pelbagai negara termasuk Vietnam, Korea Selatan, India, Thailand, Malaysia, Singapura, Myanmar dan Arab Saudi.

Penyertaan tersebut memberikan pengalaman pembelajaran yang berharga melalui interaksi bersama chef profesional, peserta antarabangsa dan pemain industri makanan dari seluruh dunia, sekali gus memperluaskan pengetahuan serta pemahaman peserta terhadap standard kulinari global.

Hasil daripada usaha gigih, latihan intensif dan komitmen yang tinggi, pasukan UTHM berjaya memperoleh tiga pingat perak, lima pingat gangsa dan tiga diploma dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Pencapaian ini membuktikan bahawa pelajar UTHM mempunyai kebolehan dan potensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa serta mampu menghasilkan hidangan yang memenuhi standard penilaian profesional.

Penyertaan ini selaras dengan usaha UTHM dalam melahirkan graduan yang kompeten, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global. Selain mengasah bakat dan kemahiran profesional, para pelajar turut berpeluang membina jaringan industri yang berpotensi membuka peluang kerjaya pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta memberikan impak positif kepada pembangunan bakat pelajar dan imej UTHM di persada antarabangsa.

Tahniah diucapkan kepada seluruh GASTROME TEAM UTHM dan tenaga pengiring atas usaha, dedikasi dan pencapaian yang membanggakan dalam THAIFEX Thailand Ultimate Chef Challenge (TUCC) 2026.