Advertisement

Future Talent Roundtable 2026 Satukan UniMAP, Industri Perkasa Bakat Masa Hadapan

Oleh: Prof. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah & Mohd Khairul Effendi Che Wan

KANGAR, 19 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh hubungan strategik bersama industri menerusi UniMAP Future Talent Roundtable 2026: Strategic Industry Dialogue on Graduate Employability, yang menghimpunkan lebih 20 organisasi industri serta lebih 35 pengurus dan wakil sumber manusia (HR).

Program yang berlangsung di Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Teknologi (FKTE), UniMAP itu menjadi platform strategik bagi mempertemukan pihak universiti dan industri dalam membincangkan keperluan bakat, kompetensi graduan serta perubahan landskap pekerjaan masa hadapan.

Antara organisasi industri yang terlibat termasuk NationGate, Bosch, MKS dan SanDisk, sekali gus mencerminkan sokongan industri terhadap usaha UniMAP melahirkan graduan yang kompetitif, relevan dan bersedia memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, berkata hubungan erat dengan industri amat penting bagi memastikan pembangunan graduan sentiasa selari dengan keperluan sebenar dunia pekerjaan.

“UniMAP kini mencatat kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.4 peratus. Namun, kejayaan tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan sama ada graduan mendapat pekerjaan, sebaliknya mereka perlu memperoleh pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan, mampu berkembang dalam kerjaya dan menyumbang secara bermakna kepada industri serta negara,” katanya.

Beliau berkata perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), generative AI, semikonduktor, automasi dan pendigitalan menuntut graduan menguasai bukan sahaja kemahiran teknikal, malah pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, analitik data, komunikasi dan keupayaan menyesuaikan diri.

Menurutnya, pandangan industri yang diperoleh menerusi sesi tersebut amat bernilai dalam membantu UniMAP mengenal pasti jurang kompetensi serta memperkukuh strategi pembangunan bakat agar lebih bertepatan dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

Sesi dialog turut memberi tumpuan kepada empat perkara utama, iaitu kesediaan graduan UniMAP, jangkaan industri dan jurang kompetensi, kemahiran masa hadapan serta pembangunan bakat dan talent pipeline.

Perbincangan turut membuka peluang kerjasama lebih luas dalam aspek latihan industri, pengambilan graduan, bimbingan kerjaya, program kerjaya, projek berasaskan industri serta penyelidikan dan inovasi.

Turut hadir, Mr. Tan Chin Kong, Vice President, NationGate Solution (M) Sdn. Bhd., bersama wakil-wakil industri yang berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan keperluan tenaga kerja serta kemahiran yang diperlukan dalam sektor masing-masing.

Segala pandangan dan cadangan yang diperoleh akan dirumuskan menerusi UniMAP Future Talent Industry Insight Report dan dijadikan input kepada pelaksanaan UniMAP Graduate Employability Action Plan 2027–2030.

Inisiatif ini memperlihatkan komitmen UniMAP untuk bergerak melangkaui agenda kebolehpasaran kepada kesepadanan dan kelestarian kerjaya, sekali gus memastikan graduan bukan sahaja mendapat pekerjaan, tetapi memiliki kompetensi yang relevan, mampu berkembang dan terus menjadi pilihan industri.