Advertisement

FSKTM UTHM raih tujuh pengiktirafan di IUIC 2026

Oleh: Dr. Muhammad Nazim bin Razali dan Prof. Madya Dr. Muhaini bin Othman

BATU PAHAT, 27 Oktober 2026 – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih tujuh pengiktirafan, terdiri daripada tiga pingat perak, tiga pingat gangsa dan satu Anugerah Khas Inovasi Sains Islam dalam International Undergraduate Innovation Competition 2026 (IUIC 2026).

Pertandingan yang berlangsung pada 26 hingga 27 Oktober 2026 di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM itu dianjurkan bersempena Hussein Innovation & Talent Symposium 2026 (HITS 2026) sebagai platform mengetengahkan kreativiti, penyelidikan dan inovasi mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta antarabangsa.

Antara pencapaian utama ialah kejayaan projek 1 Hari 1 Hadis: An AI-Assisted Context-Aware Hadith Recommendation and Automated Broadcasting System yang meraih pingat perak serta Anugerah Khas Inovasi Sains Islam.

Projek tersebut dibangunkan oleh Muhammad Khairul Ibad bin Jima’ain selaku ketua kumpulan bersama Muhammad Syahmi bin Ridzuan dan Mirza Nazeef bin Mansor, di bawah seliaan Dr. Muhammad Nazim bin Razali.

Inovasi ini mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mencadangkan hadis berdasarkan konteks serta mengautomatikkan penyiaran kandungan. Pendekatan tersebut berpotensi memperluas penyebaran ilmu Islam secara lebih sistematik, relevan dan mudah diakses melalui platform digital.

Dua lagi pingat perak diraih menerusi projek Integrated Seafood Mobile App and Management System for Boon Hua Fishery oleh Ang Ke Sin di bawah seliaan Dr. Muhammad Shukri bin Che Lah serta VELDARA: Dual Mode AI Platform for Plant Health Assessment With Visual Explainability yang dibangunkan oleh Muhammad Haziq Farhan bin Nordin, Muhammad Danish bin Mohd Aris dan Muhammad Qaid Uqail bin Khairul Anuar di bawah seliaan Dr. Muhammad Nazim bin Razali.

Sementara itu, tiga pingat gangsa dimenangi menerusi projek PlanGenius: An Intelligent Academic Planner for Student Assignments and Examinations oleh Anis Aqilah binti Abu Sairi di bawah seliaan Dr. Nurezayana binti Zainal; MYKOLONG2 HUB: An AI-Driven Social Welfare Analytics and Integrated Management System for Rural Development oleh Nur Ilya Fatimah binti Mazlan di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Noraini binti Ibrahim; serta Smart Emergency Monitoring System (SEMoS) oleh Izzul Hazieq bin Zulkeflee di bawah seliaan Prof. Madya Ts. Dr. Khalid bin Isa.

Kejayaan tersebut memperlihatkan keupayaan mahasiswa FSKTM mengaplikasikan kemahiran teknikal, kreativiti dan pemikiran kritis dalam menghasilkan penyelesaian inovatif merentas bidang, termasuk AI, pengurusan digital, pembangunan masyarakat dan pemantauan pintar.

Pencapaian ini turut mendukung aspirasi Global Technopreneur University 2030 (GTU2030) melalui pembangunan graduan berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya keusahawanan, di samping menggalakkan penghasilan teknologi yang berpotensi untuk dikomersialkan serta memberikan manfaat kepada industri dan masyarakat.

Kejayaan FSKTM dalam IUIC 2026 sekali gus memperkukuh komitmen fakulti dalam membudayakan penyelidikan dan inovasi berimpak, sejajar dengan usaha UTHM melahirkan graduan teknousahawan berdaya saing pada peringkat global menjelang 2030.

Total Views: 19