Advertisement

Festival of Ideas @FPTV 2026 ketengahkan projek inovasi dan penyelidikan pelajar FPTV, UTHM

Oleh: Ts. Dr. Zurina binti Yasak

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) telah menganjurkan pameran projek inovasi pelajar merangkumi semua kursus yang berkaitan di sekitar kompleks FPTV pada 16 Jun 2026.

Program berprestij ini melibatkan penyertaan aktif daripada barisan pelajar di peringkat sarjana muda dan juga sarjana.

Bagi memeriahkan lagi pameran ini, jemputan umum turut diedarkan kepada sekolah-sekolah di sekitar Parit Raja serta wakil industri yang mempunyai memorandum persefahaman (MoU) bersama pihak Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Penganjuran inisiatif ini bertujuan utama untuk mengetengahkan hasil projek, idea, dan inovasi pelajar terus kepada pihak komuniti dan industri.

Sebelum ini, ketiadaan platform khusus untuk pelajar mempamerkan hasil tugasan berkualiti mereka kepada pihak luar merupakan satu kekangan yang agak mengecewakan.

Tanpa ruang pameran yang sistematik, banyak produk pembelajaran pelajar tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta kurang mendapat maklum balas yang membina daripada industri dan sekolah.

Justeru, penganjuran Festival of Ideas @ FPTV 2026 (FOI@FPTV 2026) telah dicadangkan sebagai medium berkesan untuk menghimpunkan serta mempamerkan hasil pembelajaran pelajar secara terbuka dan terancang.

Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang festival ini termasuklah Festival Keusahawanan – Nomnom Foodelicious, FPTV Skills Challenge 2026, Pameran Projek Pelajar (PSM 2), Program Riuh Sukan Rakyat FPTV, dan Program Bual Bicara Industri.

Kemeriahan program turut diserikan lagi melalui Program Jalinan Mesra PAK bersama pelajar Uzbekistan, Demonstrasi Pasukan Robotik FPTV, Pameran Projek Akhir Kursus-Kursus, serta inisiatif Open Lab FPTV.

Pada masa yang sama, FOI@FPTV 2026 turut berperanan sebagai platform pembelajaran autentik kepada mahasiswa untuk mengendalikan program berskala pameran serta berinteraksi secara langsung dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Penglibatan ini terbukti dapat meningkatkan kemahiran insaniah pelajar khususnya dalam aspek komunikasi profesional, kerja berpasukan, pengurusan acara, dan nilai keusahawanan.

Selain itu, penganjuran festival ini sangat membantu dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara pihak fakulti, pemain industri, dan komuniti setempat, sekali gus meningkatkan keterlihatan FPTV dalam memupuk budaya inovasi. Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, yang turut meluangkan masa menyantuni pelajar serta meninjau projek inovasi yang dipamerkan.

Secara rumusannya, penganjuran sulung FOI@FPTV 2026 ini telah melakar kejayaan besar dalam mencapai objektifnya untuk merapatkan jurang antara dunia akademik dan keperluan realiti industri.

Adalah sangat diharapkan agar program berimpak tinggi ini dapat diteruskan secara konsisten pada masa hadapan bagi memperkasakan lagi kebolehpasaran serta keyakinan mahasiswa.

Pastinya, impak positif daripada festival kelolaan pelajar ini akan melonjakkan lagi reputasi universiti dalam melahirkan graduan yang holistik, kompeten, dan bersedia mendepani cabaran global.