Advertisement

Felo MADANI Farah Jazlina Dari UUM Di Tempatkan Di Pejabat KSN – MySiswaNow

PUTRAJAYA – Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM), Farah Jazlina binti Mohd Haidel, diberi kepercayaan dan penghormatan apabila ditempatkan sebagai Felo MADANI 2026 di Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Farah Jazlina, yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan dari UUM, diraikan oleh KSN, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dalam satu pertemuan di pejabat beliau.

Dalam sesi mesra tersebut, Tan Sri Shamsul Azri sempat meluangkan masa berkongsi pandangan serta menyampaikan amanat berharga mengenai nilai dan aspirasi Malaysia MADANI, di samping peranan penting generasi muda dalam mencorakkan hala tuju serta masa depan negara.

Menurut KSN, beliau turut mendedahkan Farah Jazlina kepada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA). Agenda tersebut menekankan keberanian untuk mencabar amalan tegar lama, mempermudahkan kerenah birokrasi, serta membina perkhidmatan awam yang lebih tangkas, dinamik, dan berorientasikan hasil.

“Harapan saya buat Farah dan semua Felo MADANI 2026 menjadikan pengalaman ini sebagai platform membina perspektif dan kepimpinan agar suatu hari nanti mereka bukan hanya meneruskan legasi, tetapi membawa negara melangkah lebih jauh,” kata Tan Sri Shamsul Azri dalam catatannya.

Penempatan ini membuktikan keupayaan serta kualiti graduan UUM dalam menyertai pendedahan peringkat tertinggi kepimpinan negara melalui Program Felo MADANI.

Berita dan gambar oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara dan UUM Official

Total Views: 55