Advertisement

DUA PELAJAR UTM UNGGUL, DINOBATKAN PEGAWAI KADET TERBAIK PALAPES DARAT DAN LAUT 2026

Oleh : Lt Kol Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli bin Hj. Ali Khan & Lt M Ahmad Tolut bin Abdullah

ARAU, 12 September 2026 – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi terlibat secara langsung dalam Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) Ke-44 Tahun 2026 yang telah berlangsung di Padang Kawad Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau, Perlis.

Seramai 73 Pegawai Kadet PALAPES UTM yang terdiri daripada 44 Pegawai Kadet Darat dan 29 Pegawai Kadet Laut telah berjaya menamatkan latihan dan seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbahagi kepada Rejimen Askar Wataniah (RAW) bagi Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun ini.

Pegawai Kadet PALAPES Laut berjalan lalu di hadapan pentas diRaja semasa Istiadat Perbarisan Pentauliahan DiRaja Pegawai Kadet PALAPES UA ke 44 Tahun 2026.

Istiadat tersebut disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda puteri, Sharifah Farah Adriana.

Seramai 1,885 Pegawai Kadet PALAPES daripada 20 Universiti Awam telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam satu istiadat penuh gilang-gemilang yang berlangsung di Padang Kawad Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Turut hadir dalam istiadat tersebut ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Malek Razak bin Sulaiman, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohamad Suria bin Mohamad Saad, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain serta Pegawai-Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam istiadat tersebut, Pegawai Rendah Kanan Muhammad Haikal bin Japri dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik bagi Pegawai Kadet PALAPES UTM Darat, manakala Pegawai Kadet Kanan Muhammad Akmal bin Azhar dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UTM Laut. Pengiktirafan tersebut merupakan satu pencapaian yang membanggakan bukan sahaja kepada para penerima, malah kepada seluruh warga PALAPES UTM.

Leftenan Muda Muhammad Haikal bin Japri dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik bagi Pegawai Kadet PALAPES UTM Darat
Leftenan Muda Muhammad Akmal bin Azhar dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik bagi Pegawai Kadet PALAPES UTM Laut

Turut hadir dalam majlis gilang-gemilang ini, Komandan PALAPES UTM, Kolonel (K) Professor Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim dan isteri, bersama Timbalan Komandan PALAPES UTM, Lt Kol Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli bin Hj. Ali Khan.

Kol (K) Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, Komandan PALAPES UTM bersama dengan Timbalan Komandan, barisan pegawai, jurulatih dan pegawai muda PALAPES UTM yang baru ditauliahkan di UniMAP, Arau, Perlis

Syabas dan tahniah kepada semua Pegawai Muda yang baru ditauliahkan. Terima kasih yang tak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dengan kemenjadian pelajar PALAPES UTM sebagai seorang pegawai sukarela dalam pasukan simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Teruskan perjuangan kalian, lapor diri ke Siri 500 demi khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara. – Ucapan dari Timbalan Komandan PALAPES UTM

Seluruh warga PALAPES UTM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UTM Darat dan Laut atas kejayaan merangkul anugerah tersebut. Ucapan syabas dan tahniah turut ditujukan kepada kesemua Pegawai Kadet PALAPES UTM yang berjaya menamatkan latihan serta ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Semoga pentauliahan ini menjadi titik permulaan kepada para pegawai muda untuk terus memberikan khidmat bakti kepada negara melalui pasukan simpanan serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, disiplin, amanah dan dedikasi. Diharapkan para pegawai muda PALAPES UTM turut terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kerjaya masing-masing serta menjadi pemimpin yang berwibawa pada masa hadapan.

Total Views: 175