KUALA TERENGGANU, 15 Oktober 2026 – Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk menyampaikan mesej dakwah secara kreatif, inovatif dan berkesan menerusi media digital.
Seiring perkembangan teknologi tersebut, Program Wa’iz Citra 2026 meneruskan usaha memperkasa kemahiran digital peserta menerusi Kelas Modul 3: AI dan Media Kreatif yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet pada Khamis lalu.

Sesi yang dikendalikan oleh Prof. Ts. Dr. Syadiah Nor binti Wan Shamsuddin dari Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu merupakan modul terakhir bagi Fasa 1 program berkenaan sebelum peserta melangkah ke Fasa 2, iaitu program boot camp yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Oktober 2026.
Menerusi modul ini, peserta didedahkan kepada potensi AI dalam penghasilan kandungan media kreatif, termasuk teknik membina arahan AI (AI prompt) yang berkesan serta kaedah menjana idea kandungan digital yang lebih segar, menarik dan bersesuaian dengan keperluan audiens masa kini.

Pendekatan pembelajaran interaktif turut memberi peluang kepada peserta meneroka bagaimana teknologi AI boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan kandungan digital yang bukan sahaja menarik dari segi persembahan, malah mampu menyampaikan mesej dengan lebih jelas dan berkesan.
Bagi mengukuhkan pemahaman dan kemahiran yang diperoleh, peserta turut diberikan tugasan menghasilkan video menggunakan AI. Tugasan tersebut menjadi ruang aplikasi praktikal bagi menguji kreativiti peserta dalam menggabungkan teknologi, idea dan mesej dakwah melalui pendekatan komunikasi digital yang relevan dengan perkembangan semasa.
Pendedahan ini dilihat penting dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja memiliki pengetahuan agama dan kemahiran komunikasi, tetapi turut bersedia memanfaatkan teknologi baharu secara kreatif, bertanggungjawab dan beretika demi memperluas penyampaian dakwah kepada masyarakat.
Berakhirnya Modul 3 menandakan penutup Fasa 1 Wa’iz Citra 2026, sekali gus membuka laluan kepada peserta untuk menghadapi cabaran seterusnya dalam Fasa 2 menerusi program boot camp. Fasa tersebut menjadi kesinambungan usaha membina potensi mahasiswa sebagai ikon versatil yang mampu mengintegrasikan ilmu, kreativiti dan teknologi dalam penyampaian mesej yang bermanfaat kepada insan.
Wa’iz Citra 2026: Memacu Kreativiti, Memperkasa Dakwah Digital!
#WaizCitra #PencarianIkonMahasiswaVersatil #WaizCitra2026 #UniSZA #UIS #IlmuDemiFaedahInsan












