Oleh: Hasrol Jono
PULAU PANGKOR, 21 Oktober 2026 – Kesukaran warga emas yang terpaksa berdepan kerosakan kediaman dan gangguan kehidupan selepas banjir di Pulau Pangkor mendapat perhatian Universiti Teknologi MARA (UiTM) apabila bantuan kewangan berjumlah RM10,000 disalurkan bagi meringankan beban mereka.

Sumbangan menerusi Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM itu disalurkan pada Selasa lalu sebagai sebahagian daripada Misi Bantuan Pasca Banjir Pulau Pangkor yang digerakkan universiti bagi membantu penduduk terjejas.
Bantuan berkenaan bukan sahaja bertujuan meringankan tekanan kewangan mangsa, malah melengkapi usaha pemulihan kawasan kediaman yang dilaksanakan pasukan sukarelawan mahasiswa dan staf UiTM sejak 19 Oktober lalu.
Pengarah ZAWAF UiTM, Profesor Madya Dr. Najahudin Lateh, berkata bantuan itu mencerminkan tanggungjawab sosial universiti dalam memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian ketika berdepan musibah.
“Bantuan RM10,000 ini bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi manifestasi keprihatinan UiTM dalam menyantuni warga emas yang terjejas akibat banjir, sekali gus memastikan manfaat dana zakat dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Sementara itu, misi bantuan yang dilaksanakan susulan arahan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkenaan turut memberi tumpuan kepada kerja pembersihan rumah penduduk dan kemudahan komuniti di Kampung Sungai Pinang Besar.

Pada hari pertama operasi, seramai 28 mahasiswa bersama lima staf UiTM Cawangan Perak digerakkan membantu penduduk, termasuk melaksanakan kerja pembersihan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ahmadiah Sungai Pinang Besar.
Jumlah penyertaan meningkat kepada 34 mahasiswa dan lima staf pada hari kedua dengan tumpuan diberikan kepada kawasan kediaman serta persekitaran kampung yang terjejas akibat banjir.
Misi tersebut diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, selaku Pengarah dan Ketua Misi Banjir, manakala penyelarasan keseluruhan dilaksanakan Pengarah Pusat Kesatria dan Kokurikulum (PKeKO), Datuk Dr. Hasrol Jono.
Pelaksanaannya melibatkan kerjasama PKeKO UiTM Shah Alam dan Unit Kesatria dan Kokurikulum (UKeKO) UiTM Cawangan Perak dengan sokongan Komander Kesatria serta Persatuan Briged Sukarelawan UiTM.

Dalam pada itu, UiTM merancang meneruskan misi berkenaan sehingga 24 Oktober ini dengan penglibatan 80 mahasiswa secara bergilir bagi membantu proses pemulihan komuniti yang masih memerlukan sokongan.
Gabungan bantuan kewangan ZAWAF dan khidmat sukarelawan itu memperlihatkan pendekatan UiTM dalam membantu mangsa bencana, sekali gus memastikan keperluan kebajikan penduduk khususnya warga emas terus diberikan perhatian.












