Advertisement

Dua Graduan UMT Terima Anugerah Khas PTPTN pada Istiadat Konvokesyen Ke-24

KUALA NERUS, 18 Oktober 2026 – Dua graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Afham bin Saipulismi, graduan Sarjana Muda Sains (Analitik Data), dan Nur Hanis Afiqah binti Adnan, graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan), telah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sempena Istiadat Konvokesyen UMT Kali Ke-24.

Setiap penerima menerima wang tunai sebanyak RM1,000 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan kecemerlangan mereka, sekali gus menjadi pemangkin kepada graduan lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan pembangunan diri.

Anugerah yang diperkenalkan pada tahun 2023 itu diberikan kepada dua orang graduan setiap tahun sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian cemerlang, di samping menyemarakkan aspirasi mahasiswa untuk terus meningkatkan prestasi akademik, membina potensi diri dan melakar kejayaan dalam perjalanan pendidikan tinggi.

Kedua-dua penerima merupakan antara 2,829 graduan yang diraikan pada Istiadat Konvokesyen UMT Kali Ke-24 yang berlangsung dari 18 hingga 21 Oktober 2026.

Mengulas mengenai penerimaan anugerah tersebut, Muhammad Afham bin Saipulismi berkata, “Saya amat bersyukur dan berbesar hati atas pengiktirafan ini. Anugerah ini bukan sahaja menjadi penghargaan terhadap usaha dan komitmen sepanjang pengajian, malah menjadi dorongan untuk saya terus memperkembangkan potensi diri, menimba ilmu dan menyumbang kepakaran yang dimiliki kepada masyarakat. Saya juga berharap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian masing-masing.”

Pengiktirafan berkenaan memperlihatkan bahawa kecemerlangan mahasiswa tidak hanya diukur berdasarkan pencapaian di bilik kuliah, tetapi turut merangkumi keupayaan membina kepimpinan, melibatkan diri dalam aktiviti pembangunan mahasiswa dan memberikan sumbangan kepada komuniti universiti. Nilai-nilai ini merupakan antara ciri penting yang membentuk Mahasiswa Idaman, selaras dengan usaha UMT melahirkan graduan yang berilmu, berintegriti, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

UMT berharap pengiktirafan ini dapat menjadi inspirasi kepada seluruh mahasiswa untuk terus mengejar kecemerlangan, memanfaatkan peluang pendidikan yang tersedia dan membangunkan potensi diri secara holistik. Kejayaan kedua-dua graduan ini turut membuktikan bahawa kesungguhan, komitmen dan usaha berterusan merupakan asas penting dalam melahirkan graduan berkualiti yang mampu menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara.

Total Views: 24