Advertisement

DI SEBALIK 4.00 STPM, TERSIMPAN PERJUANGAN BAKAL MAHASISWA UUM

SELANGOR: Di sebalik keputusan cemerlang 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan tawaran melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan Kepujian di Universiti Utara Malaysia (UUM), tersimpan kisah perjuangan Nur Fadhilah Ghani, anak tunggal yang bakal melangkah ke alam pengajian tinggi demi membina masa depan yang lebih baik.

Fadhilah membesar bersama ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal dan berasal dari Sulawesi, Indonesia. Status ibunya sebagai bukan warganegara Malaysia turut menyebabkan urusan mendapatkan bantuan tertentu menjadi lebih mencabar buat mereka.

Wakil UUM menyantuni bakal mahasiswa dan keluarga menerusi Program Ziarah
Kasih di Selangor.

Selepas ibu bapanya berpisah dan bapanya kemudiannya meninggal dunia, Fadhilah meneruskan kehidupan bersama ibunya yang membesarkannya sebagai ibu tunggal.

Namun begitu, keadaan tersebut tidak pernah menjadi penghalang buat Fadhilah untuk terus mengejar impian melalui pendidikan. Sebelum melanjutkan pengajian ke UUM, beliau mengambil inisiatif bekerja secara sambilan bagi mengumpulkan wang untuk membeli barangan dan kelengkapan pengajian.

Kejayaan memperoleh keputusan STPM 4.00 serta tawaran melanjutkan pengajian ke UUM menjadi pencapaian yang cukup bermakna buat Fadhilah, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya bersama ibunya.

Kisah Fadhilah merupakan antara lima kisah yang disantuni menerusi Program Ziarah Kasih UUM di beberapa lokasi sekitar Selangor, hari ini.

Program tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama Pusat Zakat dan Wakaf UUM (PZW), Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT) serta Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD) sebagai sebahagian daripada usaha universiti menyantuni bakal mahasiswa dan keluarga mereka sebelum memulakan pengajian.

Menerusi program berkenaan, keempat-empat penerima menerima Bantuan Awal Pendidikan dan Bantuan Awal Pengajian bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam membuat persiapan ke universiti.

Kunjungan dari rumah ke rumah itu turut membolehkan pihak UUM memahami latar belakang serta cabaran yang dihadapi setiap penerima dan keluarga masing-masing dengan lebih dekat.

Selain Fadhilah, tiga lagi bakal mahasiswa turut disantuni menerusi Program Ziarah Kasih yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar Selangor.

Bagi UUM, pendekatan turun padang tersebut bukan sekadar menyampaikan bantuan, malah menjadi ruang untuk pihak pengurusan universiti mendekati dan memahami keadaan mahasiswa baharu serta keluarga mereka secara lebih dekat.

Bantuan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban keluarga, sekali gus membolehkan para penerima memulakan pengajian dengan lebih baik.

Program Ziarah Kasih merupakan antara inisiatif berterusan UUM dalam memperkukuh aspek kebajikan mahasiswa, khususnya dalam membantu mereka yang memerlukan sokongan pada peringkat awal sebelum memulakan pengajian.

Melalui usaha tersebut, UUM berharap para penerima dapat memulakan perjalanan akademik dengan penuh keyakinan dan seterusnya berusaha mencapai kecemerlangan demi masa depan diri serta keluarga.

Gambar dan Berita oleh: MUHAMMAD AMIR IKRAM (JOC SELECT)