Advertisement

Dari tangan istimewa lahir karya luar biasa, BizzKasih UTHM ungguli UTC 3.0

Oleh: Prof. Madya Dr. Maisara binti Othman dan Prof. Madya Dr. Muhaini binti Othman

TANJONG MALIM – Keunikan hasil kreativiti komuniti Pendidikan Khas membuktikan bahawa keterbatasan bukan penghalang untuk mencipta nilai ekonomi apabila empat mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi pasukan BizzKasih berjaya meraih empat anugerah dengan membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM9,500 pada Program University to Community (UTC) 3.0 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 29 Oktober lalu.

Kejayaan membanggakan itu menyaksikan BizzKasih merangkul tempat pertama kategori Projek Terbaik dengan hadiah RM4,000 dan tempat pertama kategori Pembentangan Terbaik bernilai RM2,500, selain menerima Anugerah PUNB Kategori Emas bernilai RM2,000 serta Anugerah Khas Juri Komuniti Terbaik bernilai RM1,000.

Pasukan berkenaan diwakili Afiffahmie Zarif bin Abdul Risham dan Mohammad Aiman Najmuddin bin Alias dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), serta Nurul Syuhada binti Alias dan Nur Dinie binti Shukri dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama UPSI itu bertujuan menggabungkan kepakaran universiti dengan pengetahuan komuniti bagi membangunkan perusahaan sosial yang berasaskan keperluan setempat. Majlis penutupan dan penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Projek BizzKasih diselia oleh Prof. Madya Dr. Maisara binti Othman dan Prof. Madya Dr. Muhaini binti Othman, dengan khidmat nasihat serta bimbingan daripada Pusat Teknousahawan Universiti (PTU), UTHM, bagi memastikan inisiatif yang dibangunkan mempunyai pendekatan perniagaan yang bersesuaian dengan keperluan komuniti sasaran.

Menariknya, BizzKasih mengetengahkan model perusahaan sosial yang menghubungkan produk komuniti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah-sekolah daerah Batu Pahat dengan peluang pasaran yang lebih luas. Pendekatan itu membuka ruang kepada hasil kreativiti murid PPKI untuk diketengahkan sebagai produk yang mempunyai nilai komersial.

Produk yang dibangunkan merangkumi kraftangan, jahitan, bakeri dan pastri yang berpotensi dipasarkan sebagai cenderamata acara, hadiah korporat serta memenuhi tempahan pelanggan. Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan hasil kerja komuniti PPKI kepada pasaran, malah membantu mengubah perspektif masyarakat terhadap keupayaan dan potensi ekonomi golongan berkenaan.

Dalam merealisasikan usaha tersebut, mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan dalam pengurusan perniagaan, penjenamaan dan pemasaran bagi menyokong penghasilan produk yang memenuhi keperluan pasaran. Gabungan ilmu akademik dan pendekatan keusahawanan itu membolehkan potensi kreativiti komuniti diterjemahkan kepada peluang perniagaan yang lebih tersusun.

Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah BizzKasih Community Creative Lab, yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan guru PPKI menerusi latihan pembangunan produk dan pemasaran digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk diaplikasikan di sekolah masing-masing. Pendekatan ini turut memperkenalkan penggunaan teknologi sebagai pemangkin kepada kreativiti, inovasi dan peluasan capaian pasaran.

Pelaksanaan program berkenaan turut mendapat sokongan penting daripada Unit Pendidikan Khas, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat, bersama guru pembimbing dan pihak sekolah yang membantu menjayakan penglibatan komuniti. Kerjasama strategik itu membuka peluang kepada murid PPKI untuk mengetengahkan kemahiran, terlibat secara langsung dalam penghasilan produk serta menjana pendapatan melalui tempahan pelanggan.

Kejayaan BizzKasih meraih empat pengiktirafan dalam UTC 3.0 sekali gus memperlihatkan keupayaan mahasiswa UTHM menggabungkan ilmu, kreativiti, teknologi dan keprihatinan sosial dalam membangunkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat. Lebih daripada pencapaian pertandingan, inisiatif ini membuktikan bahawa ilmu keusahawanan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih inklusif dan berdaya ekonomi.

Berteraskan slogan “Dari Tangan Istimewa, Lahirnya Karya Luar Biasa”, BizzKasih berhasrat memperluas jaringan kerjasama serta akses pasaran agar usaha yang dirintis dapat diteruskan dan memberikan manfaat lebih besar kepada komuniti PPKI. Sesungguhnya, kejayaan ini membawa mesej bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk menghasilkan sesuatu yang bernilai apabila diberikan peluang, bimbingan dan ruang untuk berkembang.

#UTHM #UTHMJohor #BizzKasih #UTC30 #UniversityToCommunity #KeusahawananSosial #SocialEntrepreneurship #PemerkasaanPPKI #KomunitiInklusif #DariTanganIstimewaLahirnyaKaryaLuarBiasa #MahasiswaBerimpak #UTHMLeadingTowardsExcellence

Total Views: 58