Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
SHAH ALAM, 19 Ogos 2026 – Seramai 211 mahasiswa dan warga Pusat Kesatria dan Kokurikulum (PKeKO) Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyertai Brisk Walk Merdeka PKeKO dalam menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Program tersebut menggabungkan aktiviti riadah dengan elemen kelestarian apabila para peserta turut mengutip sampah di sepanjang laluan menggunakan plastik sampah yang dibawa bersama, sekali gus menjadikan aktiviti berkenaan sebagai salah satu usaha untuk menjaga kebersihan persekitaran kampus.

Penganjuran Brisk Walk Merdeka PKeKO turut memberi ruang kepada mahasiswa dan warga PKeKO untuk membudayakan gaya hidup aktif dan sihat, di samping memupuk semangat kebersamaan serta kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar.
Turut menyemarakkan program ialah Datuk Ts. Dr. Hasrol Jono, Menjalankan Fungsi Pengarah, dan Encik Mohd Azmil Alias, Timbalan Pendaftar Kanan (Kokurikulum), Pusat Kesatria dan Kokurikulum (PKeKO) UiTM, yang bersama-sama peserta menyempurnakan aktiviti brisk walk serta menghayati semangat kemerdekaan sepanjang program berlangsung.
Aktiviti berkenaan turut mengetengahkan nilai kesukarelawanan dan kepedulian terhadap persekitaran sebagai sebahagian daripada penghayatan semangat kemerdekaan, dengan tindakan menjaga kebersihan dan kesejahteraan komuniti diterapkan melalui penglibatan secara langsung.

Penganjuran program ini mencerminkan usaha PKeKO dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan warga UiTM melalui pendekatan yang menggabungkan kecergasan, kebersamaan dan kelestarian, selaras dengan usaha membentuk mahasiswa yang prihatin terhadap komuniti serta persekitaran.












