Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
SHAH ALAM, 13 OGOS 2026 – Seramai 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seri Maharaja Lela, Kampung Gajah, Perak berpeluang mengenali dengan lebih dekat dunia pendidikan tinggi menerusi Sesi Pengenalan Akademik yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kolej Seroja, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Lawatan tersebut memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai peluang melanjutkan pengajian di UiTM, termasuk laluan akademik, persekitaran pembelajaran serta pengalaman kehidupan sebagai mahasiswa universiti.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi berkata, lawatan berkenaan bukan sekadar memberi peluang kepada para pelajar mengenali UiTM, malah menjadi pendedahan awal kepada peluang pendidikan tinggi serta laluan yang boleh diterokai selepas tamat persekolahan.
“Setiap pelajar mempunyai potensi untuk mencapai kecemerlangan sekiranya diberikan peluang dan pendedahan yang sewajarnya. Kami mahu anak-anak dari SMK Dato’ Seri Maharaja Lela melihat bahawa latar belakang atau dari mana mereka berasal bukanlah penghalang untuk mereka memasang impian yang besar dan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Pendedahan seperti ini juga penting supaya mereka dapat melihat sendiri peluang yang tersedia, mengenali bidang yang mungkin menjadi minat mereka dan seterusnya mempunyai keyakinan untuk menentukan hala tuju pendidikan pada masa hadapan” katanya
Sepanjang sesi berkenaan, para pelajar turut diberikan pendedahan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi demonstrasi yang dikendalikan oleh pasukan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) UiTM.

Aktiviti tersebut memberi peluang kepada para pelajar melihat aplikasi ilmu STEM secara lebih dekat, sekali gus mencetuskan minat dan rasa ingin tahu terhadap bidang sains, teknologi dan kejuruteraan serta peluang pengajian yang berkaitan.
Rombongan SMK Dato’ Seri Maharaja Lela diketuai oleh Pengetuanya, Cikgu Megat Ahmad Amib bin Megat Yahaya. Turut bersama dalam program berkenaan ialah Wakil Dekan FKM, Prof. Madya Ir. Dr. Nor Fazli Adull Manan serta Pengetua Kolej Meranti dan Seroja, Dr. Firdaus bin Mohamad.

Selain memperkenalkan pelajar kepada bidang akademik yang ditawarkan, sesi berkenaan turut membuka ruang kepada mereka untuk mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai UiTM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi serta pelbagai laluan yang tersedia untuk melanjutkan pengajian.
UiTM kini mempunyai 34 kampus dan 24 fakulti serta menawarkan lebih 500 program akademik. Peluang melanjutkan pengajian turut tersedia melalui pelbagai laluan termasuk program Asasi, Diploma dan Pra-Diploma.
Penganjuran sesi pengenalan akademik seperti ini diharap dapat menyemai aspirasi dalam kalangan pelajar sekolah untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, di samping meningkatkan minat terhadap bidang STEM dan membantu mereka membuat perancangan pendidikan serta kerjaya pada masa hadapan.













