Berita dan gambar oleh: Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah
Dua alumni Program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan dengan Kepujian (BPLB), Pusat Pengajian Undang-undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) terpilih menyertai MADANI Fellowship 2026, sekali gus mengharumkan dan membawa nama UUM ke ruang pentadbiran, pembuatan dasar dan tadbir urus negara.
Mereka ialah Sarah Dania Mohd Kahar, alumni BPLB Kohort 4 yang ditempatkan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Farah Jazlina Mohd Haidel, alumni BPLB Kohort 9 yang ditempatkan di Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN).
MADANI Fellowship merupakan penjenamaan semula Program Felo Perdana susulan keputusan Jemaah Menteri pada 26 Jun 2026. Bagi tahun ini, seramai 76 belia berusia antara 23 hingga 29 tahun dipilih mengikuti program selama empat bulan dengan penempatan di kementerian dan agensi kerajaan untuk memperoleh pendedahan dan pengalaman pentadbiran negara secara langsung.

Kejayaan dua alumni ini mencerminkan keluasan laluan yang boleh diterokai oleh graduan BPLB, selaras dengan sifat program yang menggabungkan tiga disiplin ilmu utama.
Bagi Farah, pengalaman mengikuti BPLB menjadi antara asas penting yang membentuk minat dan kesediaannya untuk meneroka bidang pembuatan dasar awam serta tadbir urus.
“Saya memang minat tentang polisi, dasar dan tatakelola baik sejak belajar falsafah. Ketiga-tiga elemen falsafah, undang-undang dan perniagaan dalam BPLB dapat saya aplikasikan dalam pengalaman akademik, kepimpinan dan kerjaya,” katanya.
Farah berkata, penglibatan aktif dalam pelbagai program BPLB, pengalaman dalam kepimpinan pelajar ketika menjadi Ahli Majlis Tertinggi Persatuan BPLB (Thinkers) serta pengurusan ketika menjadi Pengurus Campus Brew UUM dan Pengasas Camps Go UUM membantunya membina kemahiran pengurusan, pemasaran, ekonomi, penyelesaian masalah dan kepimpinan pasukan.
Pengalaman tersebut juga menyumbang kepada pengiktirafannya sebagai penerima Anugerah Keusahawanan Majlis Konvokesyen ke-38 UUM.
Pengalaman akademik turut memainkan peranan apabila beliau menjalankan Thinker’s Project bertajuk The Non-Intervention Principle in ASEAN: A Case Study of Myanmar semasa menjalani latihan industri di Kementerian Luar Negeri.

Pengalaman tersebut memperkukuhkan minatnya terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya undang-undang maritim, undang-undang laut, kedaulatan negara dan geopolitik.
Pengalaman Sarah pula memperlihatkan kesinambungan antara pemikiran multidisiplin BPLB dengan perkembangan akademik dan profesionalnya. Beliau sebelum ini menamatkan pengajian Sarjana Undang-undang di SOL UUM dengan kajian berkaitan integriti pengarah syarikat dan etika kebajikan.

Pada 2025, Sarah turut terpilih sebagai salah seorang penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) bagi pengajian peringkat PhD dalam bidang Undang-undang Komersial di Universiti Malaya.
Bagi Sarah, pemilihannya sebagai Felo MADANI merupakan satu penghormatan dan amanah besar, selain membuka peluang untuk beliau memahami dengan lebih dekat proses pentadbiran dan pembuatan dasar negara.
“Sebagai pelajar PhD dalam bidang undang-undang, saya melihat pengalaman ini sebagai peluang untuk membawa perspektif akademik keluar daripada ruang universiti dan memahami bagaimana dasar diterjemahkan kepada realiti masyarakat.
“Pencapaian ini juga tidak terpisah daripada perjalanan saya di BPLB yang melatih saya berfikir secara kritis dan melihat sesuatu isu daripada pelbagai disiplin. Gabungan falsafah, undang-undang dan perniagaan yang dipelajari dahulu terus mempengaruhi cara saya melihat isu dasar, tadbir urus dan masyarakat sehingga hari ini,” katanya.
Penglibatan kedua-dua alumni dalam Thinker’s Project di bawah bimbingan Profesor Perunding semasa di UUM turut menjadi sebahagian daripada pengalaman yang mengasah keupayaan mereka meneliti isu secara kritis, membina hujah dan menghubungkan ilmu dengan persoalan dunia sebenar, seterusnya mencambah minat mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.
Pengerusi Program BPLB, Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah berkata pencapaian kedua-dua alumni tersebut membuktikan bahawa BPLB senantiasa melahirkan graduan yang berketerampilan dan holistik dalam segenap aspek.
“Saban tahun, BPLB melahirkan ramai bakat yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malahan dalam kepimpinan, kokurikulum, sukan, pengucapan awam, penglibatan komuniti dan banyak lagi sama ada di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa. Graduan BPLB juga tidak terlepas daripada meraih beberapa anugerah utama ketika Majlis Konvokesyen UUM.
“Ke arah melahirkan Pemikir-Pemimpin masa hadapan yang disegani, segala kekuatan dan potensi mereka diasah serta ditonjolkan sepanjang berada di BPLB. Pencapaian alumni ini diharapkan dapat menjadi inspirasi dan pemangkin semangat kepada adik-adik mereka yang masih mengikuti pengajian, bukan sahaja di BPLB tetapi juga kepada seluruh pelajar UUM,” katanya.
Sementara itu, Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian kedua-dua alumni tersebut yang kini diberi peluang menyumbang dalam ruang pentadbiran dan dasar awam.
“Pencapaian alumni seperti ini amat membanggakan dan mencerminkan potensi besar yang dimiliki oleh graduan SOL. Kami berharap lebih ramai pemimpin dan profesional masa hadapan dapat dilahirkan daripada SOL, sama ada melalui BPLB mahupun Program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB).
“Pada masa sama, kejayaan alumni yang terus menyumbang dalam pelbagai sektor turut menjadi nilai tambah kepada UUM dalam memperkukuh hubungan dan jaringan antara institusi akademik, kerajaan dan industri. Kami percaya hubungan sedemikian penting dalam memastikan pendidikan yang diberikan sentiasa relevan dengan keperluan semasa serta membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa dan alumni untuk berkembang,” katanya.
Pencapaian Sarah dan Farah diharap menjadi inspirasi kepada pelajar UUM untuk memanfaatkan kekuatan ilmu, pengalaman dan jaringan yang dibina sepanjang pengajian bagi meneroka ruang kepimpinan serta menyumbang kepada pembangunan tanah air dan masyarakat.













