Berita dan Gambar oleh TISSA UUM
SINTOK, 25 Oktober 2026 – Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM), telah mengadakan Program Alumni Back to School pada Ahad, bertempat di Bilik Mesyuarat Khawarizmi, TISSA-UUM.
Program yang bermula pada jam 9.30 pagi ini bertujuan mengeratkan hubungan antara alumni dengan pihak pusat pengajian, di samping memperkukuh jaringan profesional serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan graduan dan warga akademik TISSA-UUM.
Program ini menghimpunkan beberapa orang alumni yang telah berjaya membina kerjaya dalam pelbagai bidang profesional dan kepimpinan organisasi, iaitu Y.M. Raja Azura Raja Mahayuddin, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Johor Plantation Group serta pengasas bersama AKRAB Resources, graduan tahun 1997; Dato’ Sri Noor Azerai Ahmad, Presiden RINANI Group, graduan tahun 1997; dan Tuan Haji Muzammil bin Hafiz, Rakan Kongsi Kanan MNZWAJA PLT, graduan tahun 1992.

Turut hadir ialah Dato’ Mazlan bin Mohamad, Presiden Persatuan Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), graduan tahun 1988; serta Encik Sheriza Zakaria, pengasas MYDATA, graduan tahun 1998.
Kehadiran para alumni ini mencerminkan kejayaan graduan TISSA-UUM dalam meneroka pelbagai laluan kerjaya, sekali gus menjadi inspirasi kepada warga pusat pengajian, khususnya pelajar, untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan profesional.
Melalui program seumpama ini, TISSA-UUM berharap hubungan strategik dengan alumni dapat terus diperkukuh bagi membuka lebih banyak ruang perkongsian pengalaman, pemindahan ilmu, pembangunan kerjaya serta kerjasama dengan pihak industri.


Penganjuran Program Alumni Back to School turut memperlihatkan komitmen TISSA-UUM dalam mengekalkan hubungan berterusan dengan para graduan, selaras dengan usaha melahirkan graduan perakaunan yang kompeten, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.












