Advertisement

UniMAP TONJOL KEHEBATAN PELBAGAI BAHASA, BAWA PULANG DUA GELARAN JOHAN

Oleh : Mohd Syamril Aklmar Chek Kassim

KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membuktikan keupayaan mahasiswanya menguasai pelbagai bahasa apabila berjaya meraih dua gelaran johan dan tiga naib johan dalam Higher Education Language Carnival (HELCA) 2026 Competition, sekali gus mengukuhkan kecemerlangan universiti dalam bidang bahasa dan komunikasi.

Kejayaan membabitkan lima kategori pertandingan itu menyaksikan mahasiswa UniMAP menyerlah dalam penggunaan bahasa Mandarin, Melayu dan Tamil menerusi penghasilan podcast serta persembahan penceritaan cerita rakyat yang menggabungkan kreativiti, kemahiran komunikasi dan penghayatan budaya.

Dua gelaran johan diraih menerusi kategori Language Voyage Podcast Bahasa Mandarin Aras 1 oleh Vatchala A/P Kalai Selvan, Phoebe Lee Li Rou, Ng Wan Yu dan Joey Teoh, manakala Nurain Syafiqah binti Huzaine muncul juara kategori Folktale Storytelling (Individu).

Nurain Syafiqah mencuri perhatian menerusi persembahan cerita bertajuk ‘Kisah Pak Kaduk dan Sumpahan Ikan Tapah’ yang disampaikan menggunakan dialek Perak, sekali gus menonjolkan keunikan bahasa tempatan dan kekayaan warisan budaya masyarakat.

Kejayaan itu lebih bermakna apabila kategori Folktale Storytelling berkenaan merupakan antara kategori yang julung kali dipertandingkan dalam HELCA tahun ini, sekali gus membuka ruang kepada mahasiswa mengetengahkan kreativiti dan bakat penceritaan melalui pendekatan yang berbeza.

Selain itu, UniMAP turut meraih tiga tempat kedua menerusi kategori Language Voyage Podcast, masing-masing bagi Bahasa Melayu Aras 1, Bahasa Tamil Aras 1 dan Bahasa Tamil Aras 2.

Bagi Bahasa Melayu Aras 1, pencapaian tersebut diraih oleh Muhamad Hafiz bin Muhamad Kore, Muhammad Amir bin Nadzari, Nur Hanis Shafiya binti Hasrul Nizam dan Xaraa Jailani binti Sulthan.

Sementara itu, Aananthi A/P Vathumalay, Aarthi A/P Ramachandran dan Kubbendranraj A/L Sokalinggam memperoleh tempat kedua dalam kategori Bahasa Tamil Aras 1, manakala Pheghan A/L Sugu, Pugalenthi A/P Sivalingam dan Pavittraa A/P Ramesh meraih pencapaian sama bagi kategori Bahasa Tamil Aras 2.

HELCA 2026 yang bertemakan ‘A Voyage of Languages Shaping, A World without Borders’ menghimpunkan penyertaan daripada 20 universiti awam, sekali gus menjadi platform bagi mahasiswa memperluas penguasaan bahasa, meningkatkan keyakinan berkomunikasi dan mengembangkan potensi diri dalam persekitaran yang merentas budaya.

Pengurus pasukan UniMAP, Nur Farhinaa Othman, yang juga Guru Bahasa Kanan di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, berkata penyertaan dalam pertandingan itu memberi peluang kepada mahasiswa mengasah kemahiran bahasa melalui pendekatan yang kreatif dan praktikal.

“HELCA 2026 merupakan platform penting untuk mahasiswa mengembangkan potensi diri, meningkatkan keyakinan berkomunikasi dan mengetengahkan kreativiti dalam penggunaan bahasa.

“Penghasilan podcast memberi peluang kepada mahasiswa menggabungkan kemahiran bertutur, penulisan skrip, kerja berpasukan dan penggunaan teknologi digital dalam satu medium pembelajaran yang interaktif,” katanya.

Pasukan UniMAP yang dibimbing oleh tenaga pengajar Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, menghadiri acara kemuncak dan majlis penyampaian hadiah HELCA 2026 pada 22 Oktober 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

Kejayaan meraih lima kedudukan terbaik itu mencerminkan usaha berterusan UniMAP dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan teknikal, malah memiliki kemahiran komunikasi, penguasaan pelbagai bahasa serta keupayaan berinteraksi dalam persekitaran global.

Pencapaian tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai mahasiswa untuk melibatkan diri dalam pertandingan bahasa pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh keyakinan diri, kreativiti dan daya saing mereka sebagai graduan masa hadapan.

Total Views: 35