Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan
DURIAN TUNGGAL, 20 Oktober 2026 — Mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Saudara Yang Asyraf Asyran bin Yang Rashidi, meraih naib johan dalam Pertandingan Akhir Pidato Arena Wacana Aspirasi Mahasiswa Peringkat Institusi Pengajian Tinggi sempena Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2026.
Kejayaan itu diraih menerusi pidato bertajuk “Dewan Bahasa dan Pustaka 2096: Bahasa Berdaya, Bangsa Berbudi” yang mengetengahkan kepentingan bahasa kebangsaan dalam memperkukuh jati diri, membina budaya ilmu dan membentuk masyarakat yang beradab.

Yang Asyraf Asyran, mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) UniMAP, bersaing dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Canselori, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan YB Dato’ Seri Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan. Turut hadir Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, Naib Canselor UTeM dan Tuan Haji Mohd Salahuddin bin Dato’ Paduka Mohamed, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) .
Pertandingan itu menjadi platform kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi untuk mengetengahkan kebolehan dalam seni pidato, pengucapan awam serta penyampaian hujah secara tersusun dan berkesan.
Tajuk pidato yang dibawakan Yang Asyraf Asyran mengangkat aspirasi terhadap masa depan bahasa Melayu, termasuk kepentingan memastikan bahasa kebangsaan terus relevan dan berdaya saing seiring perkembangan zaman, tanpa mengetepikan nilai kesantunan dan budi pekerti.

Penguasaan bahasa dan kemahiran komunikasi merupakan antara elemen penting dalam pembangunan mahasiswa kerana berupaya meningkatkan keyakinan diri, mengasah pemikiran kritis serta membolehkan idea disampaikan dengan jelas dan berkesan.
Pencapaian itu turut mencerminkan potensi mahasiswa UniMAP untuk menyerlah bukan sahaja dalam bidang akademik dan teknikal, malah dalam aspek pembangunan bakat serta kemahiran insaniah.
UniMAP merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Asyraf Asyran atas kejayaan berkenaan, yang diharap dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus mengembangkan potensi diri, memartabatkan bahasa kebangsaan dan mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan.















