Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan
PULAU PANGKOR, 19 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggerakkan seramai 35 pelajar dan staf bagi menyertai Misi Sukarelawan Pasca Banjir di Pulau Pangkor, sebagai komitmen universiti itu dalam membantu usaha pembersihan dan pemulihan kawasan terjejas akibat bencana.

Misi berkenaan turut disertai beberapa universiti awam lain menerusi semangat kerjasama dan kesukarelawanan bagi membantu komuniti setempat membersihkan kawasan yang terjejas serta memulihkan persekitaran bagi membolehkan kehidupan harian kembali seperti sediakala.
Diketuai oleh Pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UniMAP, En. Mohammad Irhamuddin Mansor, pasukan sukarelawan itu turut membawa peralatan pembersihan serta 40 kotak Bakul Kasih UniMAP untuk disalurkan sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap komuniti yang terkesan.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, penglibatan warga universiti dalam misi berkenaan mencerminkan komitmen UniMAP untuk terus menyumbang kepada masyarakat, khususnya ketika berdepan situasi sukar akibat bencana.

“Bagi UniMAP, kesukarelawanan bukan sekadar menghulurkan bantuan, sebaliknya merupakan manifestasi nilai kemanusiaan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang perlu dipupuk dalam kalangan warga universiti.
“Penglibatan pelajar dan staf dalam misi ini juga memberi ruang kepada mahasiswa untuk menghayati nilai empati, semangat kerja berpasukan dan kepentingan berbakti kepada masyarakat. Kita berharap kehadiran mereka dapat membantu meringankan beban komuniti yang terjejas serta menyuntik semangat untuk bangkit semula,” katanya.
Beliau berkata, UniMAP sentiasa menggalakkan penglibatan warga universiti dalam aktiviti kemasyarakatan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan sasaran, malah membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan nilai kemanusiaan.

Menurut beliau, usaha membantu komuniti yang terkesan akibat bencana memerlukan kerjasama berterusan daripada pelbagai pihak, termasuk institusi pendidikan tinggi, agensi berkaitan dan masyarakat setempat.
Misi itu turut mencerminkan peranan universiti awam sebagai institusi yang bukan sahaja berteraskan kecemerlangan akademik dan penyelidikan, tetapi turut memainkan peranan penting dalam menyantuni masyarakat serta menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Melalui semangat kebersamaan dan kesukarelawanan, UniMAP berharap usaha yang dilaksanakan dapat membantu mempercepat proses pemulihan di kawasan terjejas, di samping memperkukuh hubungan antara universiti dengan komuniti setempat.
















