Advertisement

SISWA I-PEERS 2026 UMT Ketengah Pendekatan ‘Sembuh Bersama Alam’

Oleh: Tuan Aminatulnazirah binti Tuan Arif Sahibu Fadilah

KUALA NERUS, 21 September 2026 – Pendekatan berasaskan alam sebagai ruang refleksi dan pemulihan diri diketengahkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Konvensyen I-PEERS 2026: Sembuh Bersama Alam yang berlangsung selama tiga hari, dari 17 hingga 19 September lalu.

Konvensyen anjuran UMT dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Yayasan Perkasa Siswa dan Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) itu menghimpunkan seramai 159 peserta, terdiri daripada 142 pelajar dan 17 pegawai.

Bertemakan ‘Sembuh Bersama Alam’, program berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran serta kefahaman mengenai kepentingan kesejahteraan mental dalam kalangan mahasiswa.

Selain itu, konvensyen turut mengetengahkan pendekatan terapi seni, terapi pasir dan aktiviti berasaskan alam sebagai antara medium sokongan psikologi yang boleh membantu mahasiswa melakukan refleksi diri serta membina keseimbangan emosi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, berkata usaha memperkukuh kesejahteraan mahasiswa memerlukan pembinaan ekosistem sokongan yang menyeluruh dengan penglibatan pelbagai pihak.

Menurut beliau, sokongan tersebut bukan sahaja melibatkan pegawai psikologi, malah turut merangkumi pensyarah, pentadbir, Pembimbing Rakan Siswa (PRS) dan mahasiswa itu sendiri.

“Universiti bukan sekadar tempat mahasiswa memperoleh ilmu, tetapi juga sebuah ruang yang membolehkan mereka berkembang sebagai manusia.”

Beliau berkata, pendekatan yang diketengahkan melalui Konvensyen I-PEERS 2026 memperlihatkan bahawa usaha menjaga kesejahteraan mental mahasiswa perlu dilaksanakan secara lebih holistik dengan mengambil kira aspek emosi, sosial, persekitaran dan pembangunan diri.

Pendekatan berasaskan alam juga dilihat mampu menyediakan ruang yang lebih santai dan kondusif kepada mahasiswa untuk melakukan refleksi, mengenali diri serta membina kekuatan dalaman dalam menghadapi cabaran kehidupan sebagai seorang mahasiswa.

Penganjuran konvensyen tersebut turut mencerminkan komitmen UMT dalam memperkukuh agenda kesejahteraan mahasiswa menerusi pendekatan yang lebih kreatif, inklusif dan berpusatkan manusia.

Melalui penglibatan mahasiswa, pegawai serta pelbagai pihak berkepentingan, program seperti I-PEERS diharap dapat memperkasakan budaya saling menyokong dan mewujudkan komuniti kampus yang lebih prihatin terhadap kesejahteraan mental.

Pendekatan ‘Sembuh Bersama Alam’ bukan sekadar membawa mahasiswa mendekati alam, tetapi membuka ruang untuk mereka kembali mengenali diri, membina ketahanan emosi dan menemukan kekuatan untuk terus melangkah.

Total Views: 1