Advertisement

PASANGAN PESARA TENTERA JAHIT SENDIRI BAJU SEDONDON, HANTAR ANAK DAFTAR DI UniMAP

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 26 September 2026 – Demi meraikan detik istimewa anak perempuan mereka melangkah ke alam pengajian tinggi, pasangan pesara tentera dari Kok Lanas, Kelantan, sanggup berpakaian sedondon sekeluarga ketika menghantar anak mendaftar sebagai pelajar baharu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), hari ini.

Pasangan Hishammuddin Darham, 50, dan Surjarna Othman, 45, hadir bersama dua lagi anak mereka, Nur Hafizah Syazwani, 17, dan Nur Hafizah Syamimi, 13, bagi mengiringi anak sulung mereka, Nur Hafizah Syazwana Hishammuddin, 20, yang mendaftar sebagai pelajar baharu di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE) UniMAP.

Apa yang menarik perhatian ialah kesemua ahli keluarga tersebut tampil mengenakan pakaian sedondon berwarna merah gelap yang dijahit sendiri oleh Surjarna, menjadikan hari pendaftaran itu lebih bermakna dan meninggalkan kenangan istimewa buat seluruh keluarga.

Menurut Surjarna, idea untuk menyediakan pakaian sedondon itu tercetus sebagai tanda sokongan dan meraikan langkah baharu Syazwana yang bakal memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.

Katanya, meskipun persiapan dilakukan secara sederhana, beliau mahu memastikan detik menghantar anak ke universiti menjadi satu kenangan yang boleh dikenang oleh mereka sekeluarga.

“Baju ini saya jahit sendiri untuk kami sekeluarga tambahan ketiga-tiga anak kami perempuan, berbagai fesyen boleh dibuat jika dapat menjahitnya sendiri. Lagi pula, Syazwana merupakan anak pertama yang menjejakkan kaki ke universiti,” katanya.

Bagi Hishammuddin pula, sebagai seorang bapa dan bekas anggota tentera, beliau berharap anaknya dapat menggunakan peluang menuntut ilmu di UniMAP sebaik mungkin serta terus berusaha mencapai cita-cita.

“Kami datang dari jauh untuk menghantar anak. Harapan kami supaya Syazwana dapat belajar dengan baik, menjaga diri dan mencapai kejayaan. Apa yang penting, jangan mudah berputus asa,” katanya.

Kehadiran keluarga itu bukan sekadar memenuhi urusan pendaftaran, malah menggambarkan sokongan dan pengorbanan ibu bapa dalam mengiringi perjalanan pendidikan anak sehingga melangkah ke alam universiti.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Teknologi Pemesinan Industri, Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal (FKTM) Fakhrul Nur Isyraq Nasaruddin,22, menabahkan diri untuk hadir mendaftar ke UniMAP hari ini walaupun terpaksa berkerusi roda.

Menurutnya, memandangkan semua keluarga sudah mengambil cuti dan merancang untuk datang ke UniMAP jadi beliau bersama keluarga tetap meneruskan perancangan asal walaupun terpaksa berkerusi roda akibat kemalangan jalan raya Ahad lalu.

“Akibat kemalangan berkenaan saya patah tangan kanan manakala kaki kiri dan lutut kiri saya berjahit, jadi saya perlu kembali ke Johor selepas mendaftar di kolej kediaman untuk meneruskan rawatan susulan sehingga sembuh,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli ketika berucap pada Majlis Santunan Naib Canselor UniMAP Bersama Waris Pelajar Baharu turut menzahirkan penghargaan kepada para ibu bapa dan waris yang hadir menghantar anak masing-masing ke UniMAP, termasuk mereka yang datang dari jauh.

Beliau berkata, di sebalik kegembiraan menghantar anak ke universiti, terselit rasa bangga, harapan serta kerisauan dalam kalangan ibu bapa yang kini mempercayakan UniMAP untuk bersama-sama mendidik dan membimbing anak-anak mereka.

Beliau turut mengingatkan para pelajar baharu agar tidak melupakan pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang sentiasa mendoakan kejayaan mereka.

Menurutnya, perjalanan anak-anak melangkah ke universiti bukan sekadar permulaan kepada sebuah kehidupan akademik, tetapi turut menjadi hasil daripada pengorbanan dan harapan keluarga yang mengiringi setiap langkah mereka. Beliau berharap hubungan antara pihak universiti dengan keluarga mahasiswa dapat terus diperkukuh sepanjang tempoh pengajian sehingga anak-anak tersebut kembali ke UniMAP suatu hari nanti sebagai graduan yang membanggakan keluarga.

Bagi Sidang Akademik 2026/2027, UniMAP menerima seramai 2,974 pelajar baharu peringkat Sarjana Muda, terdiri daripada 1,745 pelajar lelaki dan 1,229 pelajar perempuan yang mengikuti 40 program akademik menerusi tujuh fakulti. Jumlah tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya membawa bersama 2,974 impian baharu anak-anak muda yang bakal mencorakkan masa depan mereka, keluarga serta negara.

Total Views: 112