Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 18 September 2026 – Jadikan ruang dan peluang yang tersedia di USM sebagai pemangkin untuk terus berkembang dan hargai pengorbanan ibu bapa dan keluarga dengan menjaga diri serta bersungguh-sungguh menuntut ilmu demi membina masa depan.
Demikian ujar Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM kepada pelajar Baharu semasa merasmikan Majlis Sambutan Siswa Sidang Akademik 2026/2027 di Dewan Tuanku Syed Putra, kampus induk pagi tadi.
Majlis turut menyaksikan lafaz ikrar pelajar yang dipimpin oleh Saudara Muhammad Hariz Irfan Mohd Hamizal manakala ikrar Rukun Negara dipimpin oleh saudara Rayyan Abdul Aziz Abdullah, kedua-duanya daripada Pusat Pengajian Pengurusan sebagai simbolik permulaan perjalanan mahasiswa dalam menimba ilmu, membina jati diri dan menggalas amanah sebagai warga USM.

Abdul Rahman turut menyeru para pelajar baharu agar tidak membataskan potensi diri berdasarkan latar belakang atau keadaan semasa, sebaliknya menjadikan ruang dan peluang yang tersedia di USM sebagai pemangkin untuk terus berkembang.
“Jangan ukur peluang berdasarkan siapa diri anda hari ini, tidak kira samaada datang daripada keluarga berada atau sederhana, dari bandar atau luar bandar, mempunyai keyakinan tinggi atau masih mencari arah, setiap seorang mempunyai ruang untuk berkembang,” ujarnya lagi.



Abdul Rahman turut memperkenalkan barisan Ahli Senat, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan, pengarah Pusat Tanggungjawab (PTJ) serta barisan Penggawa Desasiswa kepada para pelajar baharu sebagai sebahagian daripada kepimpinan yang akan bersama-sama menyokong perjalanan mereka sepanjang berada di USM.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Saudara Azfar Al-Hafiz Azman, turut mengimbas kembali pesanan Naib Canselor ketika Majlis Perutusan Naib Canselor 2026 yang bertemakan “Meneraju Kecemerlangan, Mencorak Impak Global”.
“Kita tidak mahu hanya dikenang kerana kedudukan, jumlah penerbitan atau angka dana yang dijana, sebaliknya kita mahu dikenang kerana impak yang akan kita tinggalkan, sama ada pada kehidupan pelajar mahupun kepada komuniti yang kita dampingi,” katanya.
Seluruh warga Universiti Sains Malaysia mengucapkan selamat datang kepada mahasiswa Sidang Akademik 2026/2027. Gunakan peluang ini untuk mengukir langkah baharu, menyemarakkan kecemerlangan dan membina keberanian sebagai generasi pemimpin yang membawa impak kepada keluarga, masyarakat dan negara.













