Advertisement

UniMAP Terima 27 Mahasiswa UIN Ar-Raniry Perkukuh Hubungan Akademik Malaysia-Indonesia

Oleh: Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah 

KANGAR, 17 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima kunjungan 27 mahasiswa Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh, Indonesia menerusi Program Pengabdian kepada Masyarakat (PKM) dan Kuliah Pengabdian Masyarakat (KPM) Antarabangsa.

Program bertemakan “Jejak Ilmu dan Budaya Perlis-Aceh” itu bertujuan memperkukuh hubungan akademik dan kebudayaan antara kedua-dua institusi, selain memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai masyarakat, sejarah dan budaya Malaysia-Indonesia.

Delegasi UIN Ar-Raniry yang terdiri daripada mahasiswa tiga fakulti, iaitu Fakultas Adab dan Humaniora, Fakultas Ushuluddin dan Filsafat serta Fakultas Syariah dan Hukum, disambut dalam satu majlis rasmi di UniMAP.

Timbalan Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, menzahirkan penghargaan atas kunjungan delegasi berkenaan dan berharap kerjasama yang terjalin dapat diteruskan serta diperkukuh pada masa akan datang.

Program turut menyaksikan penyerahan Letter of Intent (LoI) antara UniMAP dan UIN Ar-Raniry sebagai langkah memperkukuh kerjasama dalam bidang akademik dan pengabdian kepada masyarakat.

Sepanjang program, para peserta turut mengikuti pelbagai aktiviti akademik, kemasyarakatan dan kebudayaan yang memberi peluang kepada mahasiswa kedua-dua negara untuk bertukar ilmu dan pengalaman.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen UniMAP dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta memperkasa pengalaman pembelajaran mahasiswa melalui interaksi akademik dan silang budaya.