Oleh : Mohd Azfar Syukri Yusien
SHAH ALAM, 28 Ogos 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh jaringan kepimpinan mahasiswa di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran International Student Union Camp (ISUC 2026) yang berjaya menghimpunkan seramai 147 pemimpin pelajar tempatan dan antarabangsa dalam program yang berlangsung di UiTM Shah Alam.
Daripada jumlah tersebut, 95 peserta merupakan mahasiswa tempatan manakala 52 lagi merupakan peserta antarabangsa daripada enam universiti terkemuka di Indonesia, Thailand, Hong Kong dan China. Penganjuran ISUC 2026 menjadi wadah pertemuan mahasiswa daripada latar belakang berbeza untuk membina jaringan, berkongsi pengalaman serta memperluas perspektif kepimpinan dalam persekitaran silang budaya.
Bertemakan “Unity in Diversity: Empowering Future Asian Leaders”, program berkenaan memberi penekanan kepada pembentukan generasi pemimpin mahasiswa Asia yang mampu memanfaatkan kepelbagaian sebagai kekuatan dalam membina hubungan dan kerjasama merentasi sempadan.

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk sesi suai kenal, lawatan sekitar kampus UiTM Shah Alam serta International Networking Night yang mengetengahkan perbincangan berkumpulan, sesi perkongsian universiti dan aktiviti jaringan antara delegasi. Pengisian ini membuka ruang kepada peserta untuk mengenali pengalaman serta pendekatan kepimpinan mahasiswa di institusi masing-masing.
Dimensi silang budaya turut diperkukuh menerusi lawatan ke Melaka yang membawa peserta mendekati sejarah dan warisan Malaysia. Antara lokasi yang dikunjungi ialah Muzium Istana Kesultanan Melaka, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Kota A Famosa, Hang Tuah Centre, Muzium Samudera dan Tapak Warisan Dunia UNESCO Melaka.
Komponen akademik ISUC 2026 pula diperkasakan menerusi International Conference of Student Development, Social Sciences and Technology (ICSDST 2026) pada 26 Ogos. Persidangan tersebut merangkumi sesi bersama penceramah jemputan serta dua sesi selari bertemakan “Bridging Social Sciences & Youth Potential”, sekali gus menyediakan platform pertukaran ilmu dan pandangan mengenai pembangunan potensi generasi muda.

Majlis perasmian ISUC 2026 dan ICSDST 2026 telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan sinergi kepimpinan rentas negara dalam memberi pendedahan kepada pemimpin pelajar terhadap pengalaman dunia sebenar.
“Pertukaran idea dan kerjasama daripada pelbagai latar belakang negara akan melatih ketahanan, empati, serta keupayaan mengurus kepelbagaian—kriteria penting untuk seorang pemimpin global,” katanya.
Beliau turut menyampaikan ucaptama bertemakan “Bridging Human Potential and Innovation in a Changing World”, yang mengetengahkan hubungan antara pembangunan potensi mahasiswa, inovasi dan keperluan kepimpinan dalam persekitaran global yang sentiasa berubah.
Pertukaran budaya antara delegasi diteruskan menerusi Intercultural Knowledge Sharing Sessions serta The Grand Cultural Night, yang menampilkan persembahan antarabangsa dan memberi ruang kepada peserta memperkenalkan identiti serta keunikan budaya masing-masing.

Penganjuran ISUC 2026 bukan sahaja memperluas jaringan antara pemimpin pelajar tempatan dan antarabangsa, malah menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk belajar, berinteraksi dan memahami kepelbagaian perspektif dalam suasana global. Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkasa pembangunan mahasiswa serta membina jaringan kerjasama antarabangsa yang dapat menyumbang kepada pembentukan pemimpin masa hadapan.













