Oleh: Kepimpinan Kolej Kediaman Universiti
SONGKHLA, 30 Julai – Empat mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), bersama seorang pegawai pengiring, menyertai Program Building Residential Involvement, Dialogue, Growth and Empowerment (BRIDGE) Camp 2.0 yang berlangsung selama lima hari, dari 26 hingga 30 Julai 2026, di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Thaksin University, Songkhla, Thailand.
Delegasi UNIMAS terdiri daripada empat pemimpin mahasiswa kolej kediaman dan seorang pegawai pengiring seperti berikut:
- Ahmad Amir bin Mohd Effendi (Kolej Allamanda)
- Muhamad Syazani (Kolej Cempaka)
- Myra anak Goldy (Kolej Sakura)
- Dayang Norrizany Natasha binti Ag Zainuddin (Kolej Bunga Raya)
- Dr. Shazrina binti Ahmad Razali (Pegawai Pengiring dari Kolej Kasturi)
Program anjuran Majlis Penghuni Kolej Kediaman UniCITI Alam, UniMAP ini bertujuan memperkasa kepimpinan mahasiswa, memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa serta menggalakkan perkongsian ilmu menerusi khidmat masyarakat serantau. Program tersebut dirasmikan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri bin Abdullah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP.

YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri bin Abdullah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, menyampaikan ucapan perasmian BRIDGE Camp 2.0.
Penyertaan ini menterjemahkan visi UNIMAS untuk menjadi universiti terkemuka yang memimpin masa hadapan menerusi kelestarian global, di samping mendukung misinya untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing, holistik dan berteraskan kecemerlangan. Inisiatif tersebut turut selari dengan penekanan dalam Amanat Naib Canselor UNIMAS 2026 terhadap pemerkasaan mahasiswa, pengantarabangsaan berasaskan impak komuniti dan penglibatan aktif kepimpinan kolej kediaman dalam mendepani cabaran global.
Sepanjang program, delegasi UNIMAS mengikuti lapan modul utama (BRIDGE 1 hingga BRIDGE 8) yang berteraskan empat fokus, iaitu kepimpinan, komuniti, pengantarabangsaan dan kolaborasi strategik.
Pada hari pertama, peserta mengikuti BRIDGE 1: Team Development bagi membina persefahaman dan kerjasama pasukan. Program diteruskan dengan BRIDGE 2: Modul Komunikasi untuk mengasah kemahiran pengucapan awam serta komunikasi kepimpinan.
Pada hari kedua, BRIDGE 3: Dialog Bersama Tokoh menampilkan Encik Abdul Khalim Al Azizi Syahril, penerima Anugerah Wira Negara TVET 2022. Sesi itu memberi pendedahan tentang peranan kepimpinan mahasiswa dan tadbir urus organisasi sebelum majlis perasmian BRIDGE Camp 2.0 berlangsung. Peserta kemudiannya mengikuti BRIDGE 4: Team Games Challenge and Training of Trainers (TOT) sebagai persediaan untuk menjalankan aktiviti bimbingan.
Pada hari ketiga, peserta mengaplikasikan peranan sebagai fasilitator dan pembimbing di sebuah sekolah tempatan di Perlis menerusi BRIDGE 5: Kepimpinan Melalui Teladan sebelum meneruskan perjalanan ke Hat Yai, Thailand.
Pada hari keempat, program diteruskan di Songkhla menerusi BRIDGE 6: Explore, Learn and Discover – Songkhla yang memberi pendedahan silang budaya. Peserta turut melaksanakan khidmat masyarakat serantau menerusi BRIDGE 7: Aktiviti Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).
Pada hari terakhir, peserta membentangkan kertas cadangan projek di Thaksin University menerusi BRIDGE 8: BRIDGE Proposal and Presentation sebelum menghadiri majlis penutupan.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen UNIMAS untuk melahirkan mahasiswa berilmu, berdaya saing, kukuh sahsiahnya dan berjiwa pemimpin. Inisiatif tersebut mendukung aspirasi Semarak Siswa Madani serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17: Kerjasama demi Matlamat.












