Oleh: Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah
PEKANBARU, RIAU, INDONESIA, 23–24 Ogos 2026 — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh jaringan kerjasama akademik antarabangsa menerusi Program Mobiliti Berkredit Antarabangsa ke Riau, Indonesia yang melibatkan penyertaan 34 orang pelajar daripada tujuh fakulti di UniMAP.
Program yang berlangsung di Universitas Islam Riau (UIR) pada 23 hingga 24 Ogos 2026 itu turut melibatkan 15 mahasiswa UIR, 50 pelajar dan guru daripada SMA YLPI Pekan Baru serta pensyarah daripada Fakultas Teknik, UIR.
Majlis perasmian dan penerimaan delegasi UniMAP telah disempurnakan oleh Dekan Fakultas Teknik, UIR, Dr. Kurnia Hastuti. Program tersebut menjadi antara langkah awal dalam membina hubungan strategik antara kedua-dua institusi dalam bidang akademik, pemindahan teknologi, khidmat komuniti dan kelestarian.

Kerjasama yang terjalin dijangka diperkukuh menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniMAP dan UIR yang kini sedang dibangunkan dan dijangka dimeterai pada tahun 2026.
Antara pengisian utama program ialah UIR-UniMAP International Discussion Forum 2026 on Sustainable Engineering Material and Environmental Technology yang menampilkan perkongsian kepakaran oleh Ts. Dr. Noorina Hidayu Jamil, Ir. Dr. Mohd Badrul Hisyam Ab Manaf dan Prof. Madya Dr. Azduwin Khasri.
Forum berkenaan memberi ruang kepada warga akademik dan mahasiswa kedua-dua universiti untuk bertukar pandangan serta berkongsi pengetahuan berkaitan bahan kejuruteraan lestari dan teknologi alam sekitar, selaras dengan keperluan pembangunan teknologi yang lebih mampan.

Selain itu, program turut mengadakan UIR-UniMAP International Community Service Program 2026 – Solar Street Light Awareness for Sustainable and Energy-Efficient School Communities at SMA YLPI Pekan Baru. Program khidmat komuniti tersebut memberi penekanan kepada usaha memperkasa generasi muda melalui kesedaran mengenai kecekapan tenaga serta teknologi tenaga boleh diperbaharui.
Sesi pemindahan ilmu berkaitan teknologi tenaga solar telah disampaikan oleh Pak Shandy Kurniadi dari UIR dan Dr. Ahmad Afif dari UniMAP kepada warga sekolah serta mahasiswa yang terlibat. Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan teknologi tenaga bersih, malah menggalakkan komuniti sekolah memahami kepentingan penggunaan tenaga secara cekap dan lestari.
Program turut diserikan dengan slot promosi dan pengenalan UniMAP serta fakulti-fakulti yang terdapat di universiti berkenaan. Sesi tersebut memberi pendedahan kepada warga sekolah dan mahasiswa UIR mengenai peluang pendidikan, bidang pengajian serta kepakaran yang ditawarkan oleh UniMAP.

Dalam usaha memperluas jaringan akademik, delegasi UniMAP dan Fakultas Teknik UIR turut mengadakan sesi diskusi bagi meneroka ruang kerjasama pada masa hadapan, khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pemindahan teknologi dan aktiviti kemasyarakatan.
Hubungan antara mahasiswa kedua-dua negara turut diperkukuh menerusi sesi ramah mesra, perkenalan dan perkongsian antara mahasiswa UniMAP dan UIR bersama murid-murid SMA YLPI Pekan Baru. Interaksi tersebut memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman kehidupan kampus, budaya serta perspektif sebagai generasi muda dalam persekitaran pendidikan yang berbeza.
Secara keseluruhannya, program mobiliti ini mencerminkan komitmen UniMAP dalam memperluas pengalaman pembelajaran pelajar melalui pendedahan antarabangsa, di samping mengukuhkan jaringan institusi pendidikan tinggi di peringkat serantau.
Pelaksanaan aktiviti pemindahan teknologi dan khidmat komuniti menerusi program ini turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur serta SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan.
Inisiatif berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih kukuh antara UniMAP dan UIR serta membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi, mobiliti pelajar dan khidmat komuniti pada masa akan datang.












