oleh Suriati Ismail
TANJUNG MALIM, 25 Ogos – Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini melancarkan Aktiviti Memasak Bersama Pelajar Diploma di bawah inisiatif Dapur Siswa Madani.
Program tersebut menyaksikan semangat gotong-royong dalam kalangan mahasiswa yang bekerjasama menyediakan hidangan berkhasiat, sekali gus berjaya mengagihkan sebanyak 100 pek makanan secara percuma kepada pelajar KHAR yang memerlukan.

Inisiatif Dapur Siswa Madani merupakan program tajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyediakan kemudahan ruang, peralatan memasak, serta bekalan bahan mentah di Kolej Kediaman
Langkah ini bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup di kampus, menyemai nilai kesukarelawanan, serta menyahut hasrat KPT bagi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara agar tiada pelajar yang berdepan masalah kelaparan sepanjang tempoh pengajian.

Mewakili suara peserta, salah seorang pelajar diploma, Siti Nur Auni Humaira Binti Mohd Karmani yang terlibat meluahkan rasa syukur atas pelaksanaan program komuniti berkenaan.
“Kami amat bersyukur dengan adanya Dapur Siswa Madani ini kerana ia bukan sahaja mengenyangkan perut, malah merapatkan ukhuwah kami sebagai pelajar. Hasrat kami agar inisiatif murni ini dapat diteruskan secara konsisten pada masa hadapan. Kami mahu memastikan tiada rakan kuliah yang terpaksa berlapar atau hilang fokus belajar hanya kerana kekangan kewangan. Bersama kita memasak dengan kasih, bersama kita berkongsi rezeki,” katanya.
Menerusi slogan “Memasak dengan Kasih, Berkongsi dengan Ikhlas”, program ini membuktikan komitmen proaktif UPSI dalam menjaga kebajikan ‘Anak Kandung Suluh Budiman’ agar mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kecemerlangan akademik tanpa sebarang kerisauan.














