Oleh: Mohd Khairul Effendi Che Wan
PASIR MAS, KELANTAN, 20 Ogos 2026 – Kehilangan insan tersayang sejak kecil tidak mematahkan semangat Muhamad Izzat bin Che Wil, mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), untuk terus mengejar impian dan membina masa depan melalui pendidikan.
Anak bongsu daripada enam beradik itu kehilangan ayah ketika berusia enam tahun. Ibunya pula merupakan seorang suri rumah tanpa pendapatan tetap, namun keadaan tersebut tidak menghalang Muhamad Izzat untuk terus melangkah sebagai mahasiswa Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektrik UniMAP.
Melihat ketabahan dan latar belakang keluarganya, UniMAP menerusi inisiatif Ziarah Kasih UniMAP mengambil langkah mendekati mahasiswa berkenaan dengan mengunjungi kediamannya di Kampung Kelar Bemban, Pasir Mas, Kelantan.

Kunjungan tersebut bukan sekadar menyampaikan bantuan, sebaliknya menjadi ruang untuk universiti mendengar sendiri kisah, cabaran dan keperluan yang dihadapi Muhamad Izzat sepanjang meneruskan pengajian.
Sebagai tanda keprihatinan, UniMAP turut menyalurkan Bantuan Awal Pengajian UniMAP bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga, sekali gus memberi ruang kepada Muhamad Izzat untuk memberi tumpuan kepada pengajiannya.
Kunjungan diketuai YBrs. Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniMAP, yang mewakili pengurusan universiti, bersama Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohamad Syahmie Mohamad Rasidi, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UniMAP.
Kisah Muhamad Izzat memperlihatkan bahawa keterbatasan hidup bukan penghalang untuk seseorang terus mengejar pendidikan dan membina masa depan. Dalam usia yang masih muda, beliau memilih untuk kekal tabah dan meneruskan pengajian meskipun berdepan cabaran keluarga.
Melalui Ziarah Kasih UniMAP, universiti berpeluang mendekati mahasiswa dan keluarga mereka dengan lebih dekat, sekali gus memahami realiti kehidupan yang dilalui sepanjang tempoh pengajian. Pendekatan ini turut memperkukuh hubungan antara universiti dengan mahasiswa, khususnya dalam memastikan keperluan mereka sentiasa mendapat perhatian.
Bantuan yang disalurkan diharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga Muhamad Izzat serta menjadi suntikan semangat untuk beliau terus memberikan tumpuan kepada pengajian.
Kisah ini menjadi bukti bahawa setiap usaha untuk mendapatkan pendidikan mempunyai nilai yang besar. Dengan semangat dan kesungguhan yang dimiliki, Muhamad Izzat diyakini mampu terus melangkah dan merealisasikan cita-citanya dalam bidang kejuruteraan elektrik.












