Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu
Kuantan, 19 Ogos – Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah dilantik sebagai tuan rumah Mesyuarat Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) Kali Ke-73 yang berlangsung dari 18 hingga 20 Ogos 2026.
Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Melati, De Rhu Beach Resort, Kuantan itu dihadiri 20 orang Felo MAKUMA yang terdiri daripada Pegawai Psikologi mewakili 20 universiti awam di Malaysia.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Profesor Dr. Zamri bin Radzi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Malaya (UM) merangkap Pengerusi MAKUMA.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi MAKUMA, Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid bin Abdul Razzaq, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Wakil Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Cik Nur Hazwani Fatin binti Nazri turut menyertai mesyuarat secara dalam talian.
Antara perkara yang dibincangkan ialah semakan Garis Panduan Kesihatan Mental yang dibangunkan bersama Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia (MAKESUM) serta pembangunan Modul Pembimbing Rakan Siswa sebagai rujukan kepada mentor pelajar.

Para Felo MAKUMA turut diraikan dalam majlis makan malam yang dihadiri oleh Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim bin Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UMPSA di Restoran Jaman Tory, Kuantan.
Penganjuran mesyuarat ini menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama dan perkongsian kepakaran antara universiti awam dalam memperkasakan perkhidmatan kaunseling serta sokongan psikologi kepada mahasiswa.
Usaha ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti awam serta meningkatkan kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental pelajar di institusi pendidikan tinggi.
Kredit : Puan Paridah binti Mohd Ali












