Advertisement

Tiga Projek Inovasi Digital Mahasiswa UMPSA Angkat Warisan Tempatan Di DICE 4.0

Oleh : Mohamad Nasrul Naim bin Romainu

Putrajaya, 18 November – Kreativiti dan keupayaan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam menghasilkan inovasi digital yang mengangkat warisan tempatan terserlah menerusi penyertaan tiga projek dalam Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026.

Tiga projek berkenaan ialah VR Warisan Kepahlawanan – Mat Kilau, RENTAS: Pahang Heritage Grandprix dan Jejak Warisan: Laksa Gebok yang menggabungkan teknologi realiti maya (VR), pembangunan permainan digital serta animasi tiga dimensi (3D) bagi memperkenalkan sejarah, budaya dan identiti tempatan melalui pendekatan kreatif dan interaktif. Penyertaan ini turut memperlihatkan keupayaan mahasiswa mengintegrasikan kreativiti, penguasaan teknologi dan inovasi dalam menghasilkan produk digital yang mempunyai nilai tambah serta potensi untuk dikembangkan ke peringkat industri.

Projek VR Warisan Kepahlawanan – Mat Kilau dibangunkan oleh kumpulan ATMA DEV SOLUTION dengan mengetengahkan pengalaman pembelajaran sejarah secara imersif menerusi teknologi Virtual Reality (VR), pembangunan permainan 3D dan elemen interaktif. Inovasi ini membolehkan pengguna meneroka persekitaran kampung tradisional Melayu, mengalami aksi seni mempertahankan diri silat serta menghayati latar sejarah perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau.

Kumpulan ATMA DEV SOLUTION terdiri daripada Muhammad Irfanuddin Shaharinn, Muhammad Soleh Hamdan, Amirul Iqhwan Mohd. Radzi dan Mohamad Hazriq Haqimi Mohamad Hairy, dengan Noraniza Samat sebagai mentor projek.

Sementara itu, RENTAS: Pahang Heritage Grandprix hasil pembangunan kumpulan TAKA Creative Studio dari Fakulti Komputeran (FK) UMPSA mengetengahkan permainan mudah alih berkonsepkan perlumbaan go-kart yang menggabungkan elemen warisan dan lokasi ikonik negeri Pahang. Permainan ini membolehkan pemain meneroka lokasi seperti Bandar Diraja Pekan dan Tasik Chini serta mengenali seni tenunan tradisional Pahang sambil mengumpul artifak warisan sepanjang perlumbaan.

Projek RENTAS dibangunkan oleh Muhammad Fareezul Hafiz Mohd Nasir, Amar Razin Hamidon, Zulakmal Danish Zulfadzli dan Lim Kah Zheng dengan bimbingan pensyarah, Ts. Dr. Nor Saradatul Akmar binti Zulkifli.

Turut diketengahkan ialah Jejak Warisan: Laksa Gebok, sebuah projek animasi naratif pendek 3D yang dibangunkan oleh kumpulan SYNEXIS DIGITAL dari FK UMPSA. Menggunakan gaya visual 3D Low Poly, animasi ini membawa penonton mengembara merentasi masa untuk mengenali sejarah dan keunikan Laksa Gebok, termasuk teknik tradisional pembuatan mi laksa serta penggunaan peralatan gebok. Pembangunan projek turut melibatkan penyelidikan di Muzium Pahang dan sesi temu bual bersama pengusaha Laksa Gebok Aki Pian bagi mendapatkan maklumat berkaitan sejarah, teknik serta penggunaan peralatan tradisional tersebut.

Kumpulan SYNEXIS DIGITAL terdiri daripada Ahmad Nadim Muhammad Hairi, Muhammad Azad Zuhaily Mohd Azli, Muhammad Ilyas I’mran dan Muhammad Adwa’ Ikhwan Mohd Nizam dengan bimbingan pensyarah, Ts. Siti Normaziah Ihsan. Projek ini turut mendapat kerjasama industri daripada Laksa Gebok Aki Pian.

Ketiga-tiga projek berkenaan memperlihatkan potensi teknologi digital sebagai medium kreatif dalam mendokumentasikan, memperkenalkan dan memelihara warisan tempatan. Usaha ini bukan sahaja membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan kemahiran dalam bidang inovasi digital, malah menyumbang kepada usaha memastikan khazanah sejarah dan budaya tempatan terus dikenali serta dihargai oleh generasi akan datang.

Kredit : Pusat Komunikasi Korporat UMPSA

Total Views: 1