Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 19 Nov – Mahasiswa kejuruteraan perlu melengkapkan diri dengan pemikiran strategik, inovasi teknologi dan kefahaman terhadap keperluan industri bagi memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi kitaran serta menyokong agenda pembangunan hijau negara.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, kejayaan dalam bidang kejuruteraan masa kini bukan hanya bergantung kepada penguasaan teknikal, malah turut menuntut kepimpinan berintegriti dan keupayaan menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran industri dan masyarakat.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA), Prof. Madya Ts. Dr. Che Zulzikrami Azner Abidin sempena program CEO Talk Series #9 bertemakan Engineering Malaysia’s Circular Resource Gap di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, UniMAP, di sini baru-baru ini.
Program anjuran bersama FKTA dan Pusat Kerjasama Industri & Agensi Kerajaan (CIGC) itu menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Cenviro Sdn. Bhd., Dr. Johari Jalil sebagai penceramah jemputan.
Menurut beliau, pendedahan secara langsung kepada tokoh industri seperti ini penting bagi membantu mahasiswa memahami cabaran sebenar sektor pekerjaan, sekali gus membina kerjaya yang beretika, berinovasi dan mampu memberikan impak positif kepada masyarakat.
Katanya, sektor pengurusan alam sekitar dan sisa mampan merupakan antara tunjang kritikal dalam menyokong agenda pembangunan hijau negara, khususnya menerusi pendekatan ekonomi kitaran yang memastikan sumber dapat dimanfaatkan secara optimum demi kelangsungan generasi akan datang.
“Usaha ke arah ekonomi kitaran bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan mendesak bagi memastikan kelangsungan sumber asli negara,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan turut seiring dengan komitmen Malaysia ke arah pembangunan lestari dan neutraliti karbon menjelang 2050, selain menyokong agenda Ekonomi Hijau di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Dasar Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Tambah beliau, pendedahan industri seumpama itu juga selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan pembelajaran berpacukan industri (industry-driven learning), serta aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang memberi penekanan kepada peralihan ekonomi berteknologi tinggi dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran.
Terdahulu, penganjuran program berkenaan mencerminkan aspirasi UniMAP4Society untuk menjadikan UniMAP sebagai universiti teknikal peneraju penyelidikan yang memacu penyelesaian kepada industri dan masyarakat, selain menyokong agenda UniMAP Lestari 2030 ke arah merealisasikan kampus lestari.
Menerusi perkongsian tersebut, Dr. Johari turut memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai cabaran pemulihan sumber daripada sisa buangan serta peranan kritikal jurutera dalam memanjangkan jangka hayat bahan buangan melalui pendekatan ekonomi kitaran.
















