Oleh: Marwan Bin Mohd Rozi, Nur Dhania Binti Baharuddin, Radzi Bin Ambar
SIK, KEDAH, 9 November 2026 – Seramai 85 mahasiswa daripada tujuh institusi pengajian tinggi (IPT) berganding bahu menjayakan program Pejuang Jalanan 3.0: Misi Bakti Kedah yang berlangsung dari 6 hingga 9 November 2026 di Kampung Kota Aur, Sik, Kedah. Pertemuan sukarelawan daripada pelbagai universiti ini membawa satu misi bersama, iaitu menyumbang khidmat kepada masyarakat sambil membina pengalaman kepimpinan dalam kalangan mahasiswa.
Program anjuran Kelab Sukarelawan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (KSU) itu mendapat kerjasama enam IPT lain, iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah, Kampus Sungai Petani, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kolej Vokasional Sungai Petani 2. Daripada keseluruhan penyertaan, seramai 28 orang merupakan sukarelawan lelaki manakala 57 orang lagi sukarelawan perempuan.
Kehadiran tujuh IPT ini memperlihatkan kesediaan mahasiswa untuk menggembleng tenaga, masa dan sumber dalam menjayakan sebuah misi kesukarelawanan pada peringkat kebangsaan. Usaha tersebut turut menerima sokongan kewangan, sumbangan barangan serta khidmat nasihat dan panduan daripada beberapa pihak demi membantu kelancaran persedian dan pelaksanaan program, termasuk Pusat Pembangunan Pelajar (PBP) UTHM, Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM), Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) UTHM, Yayasan UTHM, Yayasan IKRAM Malaysia, Wellness Hub Batu Pahat dan pendanaan awam (crowdfunding).
Program ini telah dirasmikan dalam satu majlis yang dihadiri Ahli Parlimen Sik, YB Ustaz Ahmad Tarmizi bin Sulaiman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, YB Tuan Haji Ahmad bin Sulaiman. Turut hadir Ketua Masyarakat Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Kota Aur, Encik Mohd Khairul Anuar bin Yusop, Ustaz Mohd Rozi, wakil-wakil MASKUM dan universiti, komuniti kampung serta para peserta program. Dalam ucapannya, YB Ahli Parlimen Sik merakamkan penghargaan kepada delegasi tujuh IPT kerana memilih kawasan Sik sebagai lokasi untuk menabur khidmat bakti kepada masyarakat. Beliau turut menghargai inisiatif mahasiswa yang menghubungkan universiti dengan komuniti setempat.

Sepanjang empat hari program, para sukarelawan melaksanakan pelbagai aktiviti bersama penduduk setempat. Hari pertama dimulakan dengan sesi suai kenal (ice-breaking) bagi membina keserasian antara peserta daripada universiti berbeza, sebelum mereka menyertai jamuan bersama komuniti Kampung Kota Aur.
Pada hari kedua, mahasiswa bersama penduduk kampung menjayakan Kenduri Rakyat. Sukaneka yang diadakan pada sebelah petang pula memberi peluang kepada sukarelawan berinteraksi dengan masyarakat, khususnya kanak-kanak, dalam suasana santai dan mesra. Pada sebelah malam, program diteruskan dengan Malam Kebudayaan yang menampilkan persembahan dan aktiviti bertemakan seni serta warisan budaya. Aktiviti ini memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya, semangat perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta serta komuniti setempat.
Hari ketiga memberi tumpuan kepada khidmat masyarakat di beberapa lokasi dengan penglibatan para sukarelwan yang dibahagikan kepada lima zon. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah gotong-royong membersihkan kawasan Masjid As-Syahidin, mengecat semula Tugu Peringatan Korban Bakti di Bukit Gubir serta lawatan ke kawasan penanaman padi organik Sri Lovely di Bukit Gubir yang menjadi tumpuan penyelidik seluruh dunia. Satu zon turut ditugaskan menyediakan makanan tengah hari dengan bantuan penduduk kampung, sekali gus memupuk semangat muafakat dan kerjasama antara mahasiswa dengan komuniti setempat. Para sukarelawan turut menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah berisi barangan keperluan asas seperti beras dan bihun kepada 25 golongan asnaf yang kurang berkemampuan serta berdepan masalah kesihatan di sekitar kampung berkenaan.
Pengalaman bertemu dan menyantuni penerima sumbangan memberi kesan tersendiri kepada para peserta. Mereka berpeluang melihat sendiri keadaan kehidupan sebahagian penduduk yang memerlukan bantuan, sekali gus membuka ruang untuk memahami erti keprihatinan dan tanggungjawab sosial dengan lebih dekat.
Sebagai pengisian hari terakhir, para sukarelawan diberi peluang mempelajari asas berkayak di Tasik Gubir sebelum bertolak pulang ke institusi pengajian masing-masing. Aktiviti ini melengkapkan pengisian program dengan pengalaman rekreasi dan pembelajaran luar yang turut mengeratkan hubungan sesama peserta.
Menurut Pengarah Program, Saudara Marwan bin Mohd Rozi, penganjuran program yang melibatkan penyertaan pelbagai IPT memerlukan komitmen tinggi, khususnya dalam menangani kekangan sumber kewangan, pengurusan secara jarak jauh dan penyelarasan logistik. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap pemimpin dan peserta sehingga semua pihak berjaya bekerjasama mencapai matlamat program.

Majlis Penutup program pula telah dihadiri Ketua Masyarakat MKK Kampung Kota Aur, Encik Mohd Khairul Anuar bin Yusop. Beliau merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan atas sumbangan tenaga dan masa kepada penduduk kampung serta berharap hubungan baik yang terjalin antara komuniti dan pihak IPT dapat diteruskan melalui penganjuran program seumpama ini pada masa hadapan.
Pejuang Jalanan 3.0: Misi Bakti Kedah meninggalkan pengalaman yang lebih luas daripada sekadar penyertaan dalam aktiviti sukarelawan. Sepanjang berada di Kampung Kota Aur, mahasiswa berpeluang bekerjasama dengan rakan daripada universiti lain, mendekati masyarakat dan berhadapan dengan keperluan sebenar komuniti. Pengalaman seperti inilah yang diharapkan dapat membentuk mahasiswa UTHM dan rakan IPT sebagai graduan yang mempunyai kemahiran kepimpinan, kepekaan sosial serta kesediaan untuk menyumbang kepada masyarakat.













