Oleh: Muhammad Hisyamuddin Sazali
KUALA NERUS, 22 Ogos — Seramai 69 peserta berjaya menyeberangi perairan Terengganu sejauh 22 kilometer dari Pantai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke Pulau Bidong menerusi ekspedisi Kayak Merdeka UMT 2026: The Merdeka Voyage – Conquering the Blue to Bidong.
Program tiga hari dua malam yang bermula pada 20 Ogos itu dianjurkan oleh Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69, sekali gus meraikan Sambutan Ulang Tahun ke-25 UMT.
Majlis pelepasan peserta di Pantai Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT disempurnakan oleh Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri Negeri Terengganu, Norzilam Mohamed. Ekspedisi berlepas seawal jam 8.00 pagi menyeberangi laut menuju ke Pantai Pasir Tenggara, Pulau Bidong.

Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, peningkatan jumlah penyertaan pada tahun ini membuktikan program berasaskan marin itu semakin mendapat tempat dan sambutan hangat dalam kalangan warga institusi pendidikan tinggi (IPT), alumni serta komuniti setempat.
Beliau menjelaskan bahawa angka 69 peserta yang dipilih menyertai ekspedisi tersebut membawa simbolik yang amat signifikan dengan lipatan sejarah negara.
“Pemilihan 69 peserta ini bukan sekadar angka penyertaan biasa, sebaliknya melambangkan ulang tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-69. Ia menjadi simbol semangat kebersamaan dan penyatuan dalam meraikan kemerdekaan menerusi aktiviti yang sihat serta mencabar, di samping menyemarakkan lagi jiwa patriotisme,” katanya.

Menurut beliau, program ini direka khas melebihi skop aktiviti rekreasi marin biasa kerana ia berfungsi sebagai wadah pembentukan ketahanan diri, disiplin tinggi, kerja berpasukan serta kepimpinan mahasiswa.
Sepanjang pelayaran, para peserta berdepan ujian fizikal dan mental yang menuntut perancangan teliti, komunikasi berkesan serta keupayaan membuat keputusan bersama secara pantas di tengah lautan.
Selain menguji ketahanan, ekspedisi ini turut memperkukuh hubungan silaturahim antara penuntut tempatan dan antarabangsa, staf IPT serta masyarakat, sambil meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara khazanah marin negara.












