Advertisement

42 KADET SISPA UUM DITAULIAHKAN PANGKAT LEFTENAN MUDA

Tanjong Malim, 16 Ogos 2026 – Seramai 42 orang Pegawai Kadet Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda Pertahanan Awam dalam Istiadat Pentauliahan Kor SISPA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Istiadat pentauliahan tersebut merupakan kemuncak kepada latihan dan komitmen para pegawai kadet Kor SISPA dari lebih 30 buah institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di seluruh negara.

Majlis yang berlangsung selama tujuh hari bermula 10 hingga 16 Ogos itu menyaksikan para pegawai kadet berjaya menamatkan fasa latihan intensif sebelum menerima pentauliahan masing-masing.

Istiadat bersejarah tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), YAS KPj. (PA) Mohammad Abiddin Abd Rahman, Pengarah APM Kedah, Lt. Kol. (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik serta Adjutan Kor SISPA UUM, Dr. Fitri Yusoff.

Dalam ucapan beliau, Datuk Rubiah Wang berkata, Kor SISPA merupakan satu wadah strategik dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja berkemahiran dalam pengurusan kecemasan dan bencana, tetapi turut memiliki nilai disiplin, kepimpinan, integriti serta semangat kesukarelawanan yang tinggi.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan pelaksanaan skim elaun bagi anggota Kor SISPA sebagai tanda penghargaan terhadap peranan dan sumbangan mereka dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan awam negara. Syabas dan tahniah kepada semua pegawai kadet atas kejayaan yang dicapai,” ujar beliau.

Istiadat Pentauliahan ini juga turut disertakan dengan perbarisan tamat latihan yang diadakan pada hari sama. Keseragaman kawad kaki yang dipersembahkan oleh gabungan pegawai kadet UUM dan IPGKDA jelas mencerminkan disiplin dan semangat kerjasama yang tinggi.

Pentauliahan ini telah membuktikan kejayaan para pegawai kadet dalam mengharungi pelbagai latihan yang menekankan aspek disiplin, kepimpinan, ketahanan fizikal serta kemahiran pengurusan kecemasan dan bencana selama tiga tahun.

Penglibatan dalam Kor SISPA turut menjadi platform penting dalam melahirkan mahasiswa yang berkemahiran, berintegriti dan mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi.

Kesungguhan serta dedikasi yang ditunjukkan oleh 42 Pegawai Kadet SISPA UUM sepanjang tempoh latihan menjadi bukti komitmen mereka dalam mempersiapkan diri sebagai anggota pertahanan awam yang berwibawa. Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada warga mahasiswa lain untuk terus melibatkan diri dalam aktiviti beruniform serta menyumbang kepada masyarakat.

Salah seorang Pegawai Kadet SISPA, Hannani, pangkat Leftenan Muda yang diterima bersama rakan-rakan kadet bukan hanya satu pengiktirafan terhadap usaha dan pengorbanan mereka sepanjang latihan, malah merupakan amanah besar yang perlu dipikul dalam usaha memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat dan negara.

Sekalung tahniah diucapkan kepada semua Leftenan Muda yang berjaya menamatkan fasa Latihan dengan penuh dedikasi. Pengorbanan dan semangat yang ditunjukkan diharapkan mampu menjadi inspirasi buat para pelatih lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.