Oleh: Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah
RIAU, INDONESIA, 22 Ogos 2026 – Seramai 34 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) daripada tujuh fakulti menyertai Program Mobiliti Berkredit Antarabangsa ke Politeknik Caltex Riau (PCR), Indonesia, yang berlangsung dari 19 hingga 22 Ogos 2026.
Program tersebut melibatkan semua wakil pelajar daripada tujuh fakulti di UniMAP, sekali gus menghimpunkan peserta daripada pelbagai bidang pengajian dalam satu platform mobiliti akademik dan antarabangsa.
Program yang dihoskan oleh PCR itu merupakan kesinambungan hubungan kerjasama akademik antara UniMAP dan PCR, selain menjadi antara aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang terjalin antara kedua-dua institusi.
Program ini turut meneruskan jalinan kerjasama susulan lawatan Yang Berbahagia Dato’ ke PCR pada 29 Jun 2016, yang menjadi antara asas kepada pengukuhan hubungan strategik antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Pengarah PCR, Dr. Erwin Setyo Nugroho, bersama Bapak Zainal Arifin Renaldo, Wakil Direktor Kemahasiswaan, Pemasaran dan Kemitraan.

Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti akademik, teknologi, kebudayaan dan kemasyarakatan yang dirangka bagi memperluas pengalaman pembelajaran serta memperkukuh hubungan antara pelajar dan warga akademik kedua-dua institusi.
Antara pengisian utama ialah Kuliah Jemputan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohamed Nasrun Osman, Dr. Rozilawati Mahadi dan Dr. Ahmad Afif Nazib yang mengetengahkan topik berkaitan kecerdasan buatan dalam teknologi telekomunikasi, tenaga dan komunikasi.
Para peserta turut mengikuti kuliah umum bertajuk “Catching and Engaging Communication Skills” yang disampaikan oleh pensyarah PCR, Ibu Ade Irda Savitri.

Selain itu, program turut merangkumi slot promosi dan pengenalan UniMAP, pameran projek inovasi pelajar PCR serta sesi kuliah dan amali berkaitan Internet of Things (IoT) dan robotik.
Komponen kemasyarakatan turut menjadi antara pengisian penting menerusi aktiviti pengabdian masyarakat di Pesantren Al Quds. Dalam aktiviti tersebut, peserta melaksanakan pemindahan ilmu berkaitan penggunaan smart TV dan lampu solar kepada warga pondok.
Program khidmat masyarakat itu turut disertai sesi perkongsian dan motivasi oleh pensyarah serta pelajar UniMAP kepada komuniti pesantren, sekali gus memberi peluang kepada peserta berkongsi ilmu, pengalaman dan kemahiran dengan masyarakat setempat.

Bagi memperkukuh hubungan dan semangat persahabatan antara kedua-dua institusi, peserta turut menyertai aktiviti sukan rakyat antara UniMAP dan PCR serta Malam Bakat dan Kebudayaan yang mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia dan Indonesia.
Program Mobiliti Berkredit Antarabangsa ini bukan sahaja memberi pendedahan akademik dan teknologi kepada para pelajar, malah menjadi wadah memperkukuh jaringan antarabangsa, pertukaran budaya, pemindahan ilmu dan hubungan strategik antara UniMAP dengan PCR.
Penglibatan wakil pelajar daripada kesemua tujuh fakulti UniMAP turut mencerminkan komitmen universiti dalam memperluas peluang mobiliti antarabangsa dan menyediakan pengalaman pembelajaran global kepada mahasiswa.












