Advertisement

1,107 Pegawai Kadet KOR SISPA ditauliah, bakal perkasa kesiapsiagaan masyarakat

oleh Bazli Razak

TANJONG MALIM, 16 Ogos 2026– Seramai 1,107 Pegawai Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) menerima pentauliahan pada Majlis Istiadat Pentauliahan KOR SISPA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Suasana Majlis Istiadat Pentauliahan KOR SISPA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2026 di UPSI.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mohammad Abiddin Abd Rahman berkata pentauliahan itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap kejayaan para kadet menamatkan latihan, sebaliknya menjadi permulaan kepada amanah dan tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Beliau berkata para pegawai kadet yang ditauliahkan juga diharapkan dapat memperkukuh budaya kesiapsiagaan serta mendukung semangat pertahanan awam dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Pentauliahan ini bukan sekadar satu pengiktirafan terhadap kejayaan menamatkan latihan, malah merupakan permulaan kepada satu amanah dan tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada masyarakat, memperkukuh budaya kesiapsiagaan serta mendukung semangat Pertahanan Awam dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya ketika berucap pada majlis itu di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Datuk Hajah Rubiah Wang (tengah) hadir menyempurnakan Majlis Istiadat Pentauliahan KOR SISPA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2026 di UPSI.

Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Hajah Rubiah Wang.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Piala Ketua Pesuruhjaya Perdana kepada Leftenan Muda (PA) Ahmad Muhammad Jasmi dari UPSI sebagai salah satu pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang dalam KOR SISPA.

Ahmad Muhammad (kanan) yang menerima Anugerah Piala Ketua Pesuruhjaya Perdana pada Majlis Istiadat Pentauliahan KOR SISPA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2026 di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut mengenang jasa dua Pegawai Kadet KOR SISPA dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Allahyarham Leftenan Muda (PA) Iqbal Hansun Halimi dan Allahyarham Leftenan Muda (PA) Aiman Hakimi Rosli, menerusi penyampaian anugerah secara anumerta kepada waris masing-masing.

Mohammad Abiddin berkata pembangunan KOR SISPA merupakan hasil kerjasama strategik dan komitmen berterusan antara APM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membentuk mahasiswa yang mempunyai nilai kepimpinan, disiplin dan kesukarelawanan.

Beliau berkata KOR SISPA turut menjadi wadah penting dalam memupuk kesiapsiagaan dalam kalangan mahasiswa di institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.

Menurutnya, sokongan berterusan kepimpinan negara terhadap pembangunan KOR SISPA mencerminkan komitmen dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berdisiplin dan berkemahiran, malah mempunyai jiwa sukarelawan.

Antara Pegawai Kadet KOR SISPA yang menerima pentauliahan pada Majlis Istiadat Pentauliahan KOR SISPA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2026 di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah.

“Semoga pentauliahan yang diterima pada hari ini menjadi titik permulaan kepada khidmat yang lebih besar kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam merangkap Timbalan Naib Canselor UPSI (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta Komandan KOR SISPA UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata pentauliahan berkenaan membuktikan komitmen KOR SISPA dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja mempunyai kemahiran pertahanan awam, malah memiliki nilai kepimpinan, disiplin dan kesukarelawanan.