Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan
NIBONG TEBAL, 28 September 2026 — Impian seorang anak keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan bergelar jurutera mendapat perhatian Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Program Ziarah Kasih UniMAP di Pulau Pinang, semalam.
Siti Nur Hazirah Mohamad Rosli, 21, dari Taman Bukit Panchor Indah di sini, menerima tawaran mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan dengan Kepujian di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK), UniMAP dan dijadualkan mendaftar pada 3 Okt ini.

Anak keenam daripada lapan beradik itu berdepan kekangan kewangan keluarga selepas bapanya meninggal dunia dua tahun lepas akibat jangkitan kuman, manakala ibunya, Azizah Ahmad, 57, tidak bekerja.
Keluarga berkenaan kini banyak bergantung kepada pendapatan kakak kedua Hazirah yang bekerja di sebuah pasar raya, selain menerima bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Hazirah yang baru menamatkan pengajian Diploma turut bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap bagi membantu menyara keluarga, termasuk dua adiknya yang masih bersekolah.
Menurut Azizah, beliau bimbang tidak dapat menyediakan keperluan kewangan untuk persediaan Hazirah melanjutkan pengajian, namun tetap memberi galakan supaya anaknya tidak melepaskan peluang berkenaan.

“Saya tetap mahu Hazirah sambung belajar kerana dia memang bercita-cita untuk menjadi jurutera,” katanya.
Sementara itu, Hazirah berkata kekangan kewangan menyebabkan beliau bersedia untuk melepaskan tawaran tersebut sekiranya keadaan keluarga tidak mengizinkan.
Bagaimanapun, beliau bersyukur apabila menerima sokongan daripada UniMAP yang memberi peluang kepadanya untuk meneruskan pengajian.

Ziarah berkenaan diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohamad Syahmie Mohamad Rasidi, pengurusan fakulti serta pemimpin komuniti setempat.
Dalam kunjungan itu, UniMAP turut menyampaikan surat tawaran biasiswa dan bantuan awal pengajian kepada Hazirah bagi membantu meringankan beban keluarga serta memastikan beliau dapat memulakan pengajian di UniMAP.
Program Ziarah Kasih UniMAP merupakan antara usaha universiti menyantuni bakal dan mahasiswa sedia ada, khususnya daripada keluarga yang berdepan kekangan kewangan, bagi memastikan faktor ekonomi tidak menjadi penghalang untuk mereka melanjutkan pengajian tinggi.
















