Pulau Pinang, 25 September 2026 – Seramai 30 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program UOB Campus Connect yang berlangsung di G Hotel Gurney, Penang, baru-baru ini sebagai usaha memperkukuh persediaan pelajar menghadapi alam pekerjaan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Program anjuran United Overseas Bank (UOB) itu menyediakan pelbagai aktiviti pembangunan kerjaya yang memberi peluang kepada para pelajar mendapatkan pendedahan secara langsung daripada pihak industri, di samping meningkatkan kemahiran dan keyakinan dalam proses pencarian pekerjaan.
Antara pengisian utama program ialah klinik CV yang membantu peserta menambah baik kandungan dan persembahan resume agar lebih bersesuaian dengan keperluan industri. Peserta turut berpeluang mengikuti sesi fotografi LinkedIn bagi mendapatkan foto profesional untuk digunakan pada profil kerjaya digital masing-masing.

Selain itu, program turut menampilkan pameran kerjaya UOB yang memberi peluang kepada pelajar mengenali peluang pekerjaan serta laluan kerjaya yang ditawarkan oleh pihak bank. Peserta juga mengambil bahagian dalam sesi latihan temuduga bagi membolehkan mereka mempraktikkan kemahiran temu duga dalam suasana yang menyerupai proses pengambilan pekerja sebenar.
Menurut Dr. Aidanajwa Sabri, Penyelaras Program School of Hard Knocks (SoHK), penyertaan dalam program seperti UOB Campus Connect amat bermanfaat kepada pelajar kerana mereka bukan sahaja mendapat pendedahan terhadap peluang kerjaya, malah berpeluang menerima pandangan dan maklum balas secara langsung daripada pihak industri.
“Program seperti ini memberikan pengalaman yang bermakna kepada pelajar dalam mempersiapkan diri sebelum memasuki alam pekerjaan. Aktiviti seperti klinik CV dan latihan temuduga membantu pelajar mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki, manakala sesi LinkedIn dan pameran kerjaya pula memberi pendedahan tentang kepentingan membina profil profesional serta memahami peluang dalam industri,” katanya.

Penyertaan dalam UOB Campus Connect ini memberi peluang kepada pelajar UUM untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak industri, memahami jangkaan majikan serta meningkatkan kesediaan mereka untuk memasuki pasaran pekerjaan.
Program seumpama ini selaras dengan usaha UUM melalui Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dalam menyediakan pelbagai platform pembangunan kerjaya dan pendedahan industri bagi membantu pelajar mempersiapkan diri dengan kemahiran serta kompetensi yang diperlukan sebelum menempuh alam pekerjaan.
Berita dan gambar oleh: Anis Zulaikha Kamal












