Oleh : Hakimah Ibnuzaman
JOHOR BAHRU, 4 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh pembangunan bakat mahasiswa menerusi penerimaan 4,506 pelajar baharu peringkat Sarjana Muda sepenuh masa bagi sesi akademik 2026/2027, dengan penekanan terhadap penguasaan ilmu dan kemahiran yang disertai pembentukan adab, integriti dan tanggungjawab.
Daripada jumlah tersebut, 4,328 merupakan pelajar tempatan, manakala 178 lagi ialah pelajar antarabangsa dari 20 buah negara. Seramai 4,088 pelajar mendaftar di Kampus Johor Bahru, manakala 418 pelajar lagi di Kampus Kuala Lumpur.
Fakulti Alam Bina dan Ukur merekodkan kemasukan tertinggi dengan 771 pelajar, diikuti Fakulti Sains seramai 511 pelajar dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik seramai 503 pelajar, sekali gus memperlihatkan minat berterusan terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata peningkatan penyertaan dalam bidang STEM menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan penguasaan ilmu sains dan teknologi dalam menghadapi keperluan pembangunan negara.
Menurut beliau, usaha menyediakan peluang pendidikan, latihan dan pengalaman pembelajaran yang relevan turut menyumbang kepada pencapaian UTM dalam aspek kebolehpasaran graduan, termasuk mengekalkan Kadar Bekerja Graduan (GE) pada tahap 100 peratus selama tiga tahun berturut-turut.
“Pencapaian ini menunjukkan bahawa kita bukan sahaja menyediakan peluang untuk pelajar menyambung pengajian, tetapi turut menyediakan latihan dan pengalaman yang membantu mereka membina kemahiran yang diperlukan oleh industri,” katanya pada sidang media sempena pendaftaran mahasiswa baharu UTM di sini, hari ini.
Beliau berkata, UTM terus memperkukuh hubungan dengan syarikat tempatan dan syarikat multinasional bagi memastikan mahasiswa mendapat pendedahan kepada keperluan sebenar industri serta peluang untuk mengembangkan kepakaran yang dipelajari sepanjang pengajian.
“Kita mahu kepakaran dan ilmu yang dipelajari dalam kelas serta kuliah dapat diterjemahkan kepada keupayaan sebenar untuk menyelesaikan masalah di tempat kerja,” ujarnya.
Dalam konteks pembangunan bakat, beliau berkata mahasiswa UTM turut dilatih dengan kemahiran menyelesaikan masalah kompleks secara berperingkat sepanjang tempoh pengajian, termasuk melalui pendekatan design thinking, pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah, serta penerokaan dan pengalaman pembelajaran merentas disiplin.
Pendekatan tersebut selaras dengan aspirasi UTM untuk menginovasi penyelesaian lestari dengan melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja menguasai ilmu dalam bidang masing-masing, tetapi mampu menggunakan pengetahuan tersebut untuk menangani cabaran masyarakat, industri dan negara.

Adab dan integriti sebagai asas pembangunan mahasiswa
Pada masa sama, UTM memberi penekanan terhadap pembentukan sahsiah mahasiswa menerusi prinsip “Adab Terpuji, Bakat Berkualiti”, dengan nilai adab diterapkan dalam pelbagai aspek kehidupan kampus termasuk integriti akademik, hubungan sesama warga universiti serta penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) secara beretika.
Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry berkata pembangunan bakat perlu bergerak seiring dengan pembentukan adab supaya kecemerlangan akademik dapat diterjemahkan kepada sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.
“UTM mahu mahasiswa bukan sahaja menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang masing-masing, tetapi memahami tanggungjawab yang hadir bersama ilmu tersebut. Pembentukan bakat perlu berjalan seiring dengan pembentukan adab supaya kecemerlangan yang dicapai akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat,” tambahnya lagi.
Menurut beliau, nilai tersebut turut penting dalam membentuk mahasiswa yang mampu hidup dan bekerjasama dalam persekitaran yang terdiri daripada pelbagai agama, budaya dan pandangan.
Beliau berkata pendekatan tersebut turut memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa UTM bukan sahaja memberi tumpuan kepada kejayaan akademik, tetapi berusaha membentuk insan yang mempunyai nilai, integriti dan kesedaran terhadap tanggungjawab kepada masyarakat.

AI sebagai kemahiran merentas program
Dalam menghadapi perkembangan teknologi, UTM turut memperkukuh penerapan AI dalam pendidikan dengan memastikan elemen berkaitan teknologi tersebut diperkenalkan dalam program pengajian peringkat sarjana muda.
Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry berkata mahasiswa digalakkan menggunakan AI sebagai alat pembelajaran dan penyelesaian masalah, namun penggunaannya perlu disertai pemikiran kritis serta mematuhi prinsip integriti akademik.
“Mahasiswa boleh menggunakan AI untuk membantu menyiapkan tugasan, tetapi mereka tidak boleh menipu menggunakan AI. Kita mahu teknologi itu menjadi alat yang membantu proses pembelajaran, bukan menggantikan keupayaan mahasiswa untuk berfikir,” tegasnya.
Pendekatan tersebut turut menggalakkan budaya inkuiri dan penerokaan supaya mahasiswa tidak hanya menerima maklumat, tetapi mampu mengemukakan soalan, menilai maklumat dan membina penyelesaian berdasarkan pengetahuan serta pertimbangan sendiri.
Pembelajaran rentas disiplin dan keusahawanan
Seiring dengan usaha meningkatkan pengalaman pembelajaran, UTM turut memperkasa pendekatan pendidikan yang lebih transformatif melalui pembelajaran merentas disiplin.
“Ilmu tidak boleh bergerak dalam satu bidang sahaja. Mahasiswa perlu diberi peluang mengikuti program dan pembelajaran merentas disiplin supaya mereka dapat menggabungkan pengetahuan daripada bidang yang berbeza untuk menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Selain itu, mahasiswa turut digalakkan meneroka bidang keusahawanan sebagai salah satu laluan pembangunan kerjaya. UTM sedang mengusahakan beberapa inisiatif berkaitan, termasuk usaha mewujudkan satu pusat penyelidikan dan satu syarikat pemula melalui kerjasama antara Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).
Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan UTM untuk memperluas pengalaman pembelajaran mahasiswa agar mereka bukan sahaja bersedia menjadi pencari kerja, tetapi turut mempunyai keupayaan mencipta peluang dan membangunkan penyelesaian baharu.

Sokongan kebajikan dan keterangkuman
Dalam memastikan mahasiswa mendapat sokongan sepanjang pengajian, UTM meneruskan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Café Menu Rahmah yang menawarkan hidangan berkhasiat pada harga RM5, bantuan khas kepada lebih 1,200 pelajar B40 serta Dana Endowmen dan Zakat UTM yang menyediakan biasiswa, bantuan kewangan dan sokongan kebajikan.
Program Ziarah Kasih turut diteruskan bagi mendekati mahasiswa daripada keluarga kurang berkemampuan atau yang berdepan situasi tertentu seperti bencana.
Pada sesi kali ini, UTM turut menerima 12 pelajar orang kurang upaya (OKU), terdiri daripada tujuh lelaki dan lima perempuan. Universiti menyediakan fasiliti, kenderaan, komuniti sokongan serta persekitaran kolej kediaman yang lebih inklusif, termasuk melalui pelaksanaan Perkampungan Inklusif.
Sementara itu, seramai 178 pelajar antarabangsa dari 20 negara mendaftar bagi sesi akademik kali ini, dengan jumlah tertinggi dari Indonesia seramai 53 orang, diikuti China (45), Bangladesh (25) dan Sudan (16).

Kohort baharu Fakulti Kecerdasan Buatan
Dalam perkembangan lain, Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) menerima 281 pelajar kohort baharu, termasuk 55 pelajar yang menjadi kohort pertama mengikuti program FAI di Kampus Johor Bahru.
Kemasukan tersebut menjadikan program Sarjana Muda berkenaan sebagai program pertama FAI yang ditawarkan di kedua-dua kampus UTM, sekali gus memperluas peluang pengajian dalam bidang AI kepada lebih ramai pelajar.
Bagi menyokong keperluan pembangunan bakat di kawasan ekonomi strategik Johor, UTM turut meningkatkan kapasiti pengambilan dalam bidang berkaitan AI, sains data serta business analytics di Kampus Johor Bahru.

Minggu Mesra Mahasiswa bina kefahaman kehidupan kampus
Kesemua pelajar baharu akan mengikuti Minggu Mesra Mahasiswa (3M) bermula 4 hingga 7 Oktober 2026 sebagai platform memperkenalkan mereka kepada kehidupan kampus serta membina kefahaman mengenai nilai dan tanggungjawab sebagai mahasiswa UTM.
Selain orientasi, 3M merangkumi 10 program yang melibatkan kesedaran sivik melalui Undi 18 dan Kempen Antibuli, kenegaraan menerusi Malaysia MADANI, pembangunan pelajar melalui My Siswa Place, literasi kewangan serta inisiatif hijau kampus bagi memupuk budaya kelestarian.

Sehingga kini, UTM mempunyai jumlah enrolmen seramai 28,143 pelajar, terdiri daripada 21,097 pelajar prasiswazah dan 7,046 pelajar pascasiswazah.
Secara keseluruhannya, kemasukan mahasiswa baharu bagi sesi 2026/2027 mencerminkan usaha berterusan UTM dalam menyediakan pendidikan yang menggabungkan ilmu, kemahiran, teknologi, pengalaman industri dan pembentukan sahsiah bagi mempersiapkan graduan menghadapi keperluan dunia pekerjaan serta cabaran pembangunan negara.
Sumber: UTM NewsHub













