Advertisement

UniSZA DAN AKADEMI PERUNDANGAN NEGARA TEROKA POTENSI KOLABORASI AKADEMIK

BANDAR BARU BANGI, 25 September 2026 – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperluas jaringan strategik melalui Mesyuarat Kolaborasi Akademik antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan Akademi Perundangan Negara (APN) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Akademi Perundangan Negara, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Delegasi UniSZA diketuai oleh YBrs. Prof. Dr. Zuhairah Ariff binti Abd Ghadas, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), bersama YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Adzim Khalili bin Rohin, Pengarah, Pusat Pemindahan Ilmu dan Pendidikan Berterusan (P2P); YBrs. Prof. Madya Dr. Hanif bin Md Lateh @ Junid, Timbalan Pengarah (Pemindahan Ilmu), P2P; Dr. Norhasliza binti Ghapa, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pembangunan), Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA); serta Dr. Maheran binti Makhtar, Ketua Pusat Pengajian Undang-Undang, FUHA.

Ketibaan delegasi UniSZA telah disambut oleh YBrs. Puan Rozina binti Ayob, Ketua Pengarah Akademi Perundangan Negara, bersama barisan pegawai APN sebelum kedua-dua pihak meneruskan sesi perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik yang boleh diteroka.

Pertemuan ini menjadi platform bagi UniSZA dan APN untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang akademik dan pembangunan profesional, di samping memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi.

Perbincangan turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk mengenal pasti bentuk kerjasama yang boleh dibangunkan berdasarkan kepakaran dan kekuatan masing-masing, khususnya dalam bidang perundangan, pemindahan ilmu, pembangunan kompetensi serta pendidikan dan latihan profesional.

Kolaborasi ini berpotensi membuka ruang kepada pembangunan dan pelaksanaan program yang dapat memanfaatkan kepakaran akademik UniSZA serta pengalaman dan peranan APN dalam pembangunan profesional berkaitan bidang perundangan. Kerjasama tersebut juga diharap dapat mewujudkan lebih banyak ruang perkongsian ilmu dan kepakaran yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.

Pertemuan ini mencerminkan komitmen UniSZA untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan serta memperluas perkongsian kepakaran universiti bagi menyokong pembangunan akademik dan profesional.

Total Views: 9