Advertisement

UNIMAS PERKASA KESEJAHTERAAN KOMUNITI MELALUI PROGRAM STEPS: CSR 2026 DI KAMPUNG JAWA SEMENGGOK LAMA

Oleh: Seksyen Psikologi dan Kaunseling, Pusat Khidmat Pelajar

KUCHING, 17 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Seksyen Psikologi dan Kaunseling (PsyCon), Pusat Khidmat Pelajar telah menganjurkan program Striving Towards Emotional and Psychological Support (STEPS): CSR 2026 di Kampung Jawa Semenggok Lama, Batu 12, Kuching, bagi memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta merapatkan hubungan antara universiti dengan komuniti setempat.

Program yang berlangsung pada 16 dan 17 Oktober 2026 itu turut menyaksikan penyampaian Bakul Sejahtera kepada 100 isi rumah yang memerlukan sempena Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat UNIMAS 2026 sebagai tanda keprihatinan universiti terhadap kebajikan masyarakat.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.17 Stakan, YB Datuk Hamzah bin Haji Brahim, yang menyambut baik inisiatif UNIMAS dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat melalui pelaksanaan program khidmat komuniti.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa pembangunan masyarakat memerlukan kerjasama menyeluruh daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan tinggi, sektor swasta dan penduduk setempat.

“Pembangunan masyarakat bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan penglibatan dan kerjasama semua pihak, termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat dan penduduk setempat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan, peningkatan literasi digital dan kewangan, pengukuhan semangat kesukarelawanan serta kesinambungan program yang memberikan manfaat berpanjangan kepada komuniti. Menurut beliau, kerjasama antara kerajaan, universiti, agensi dan masyarakat mampu menghasilkan lebih banyak inisiatif bermakna untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS, Profesor Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Haji Othman, yang menyampaikan ucapan aluan bagi pihak Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Hata bin Rasit, menekankan kepentingan penglibatan warga universiti dalam aktiviti kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

“Program ini bukan sekadar aktiviti khidmat masyarakat, tetapi turut menjadi platform untuk memupuk semangat kesukarelawanan, tanggungjawab sosial dan kerjasama antara universiti dengan komuniti,” katanya ketika menyampaikan teks ucapan aluan tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa program berkenaan memberikan peluang kepada kakitangan dan mahasiswa UNIMAS untuk menyumbangkan ilmu, kepakaran serta tenaga bagi membantu memperkasakan komuniti setempat, sekali gus mengukuhkan hubungan kerjasama antara universiti dengan masyarakat.

Pelaksanaan program bermula pada 16 Oktober 2026 menerusi aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampung dan persiapan dewan, manakala pada 17 Oktober pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk senamrobik Zumba, saringan kesihatan, pertandingan mewarna bertemakan Internet Selamat serta sesi perkongsian berkaitan keselamatan digital dan pengurusan kewangan.

Aktiviti tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat, penggunaan Internet secara selamat serta pengurusan kewangan yang berhemah. Profesor Al-Khalid turut berharap agar program tersebut menjadi asas kepada kerjasama yang lebih erat dan berterusan antara UNIMAS dengan komuniti Kampung Jawa Semenggok Lama.

Penganjuran program turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pusat Kesihatan UNIMAS dan UNIMAS Business School. Lembaga Perindustrian Nanas turut menyumbangkan sebanyak 400 biji nanas, manakala Nestlé menyediakan minuman percuma menerusi trak Nescafé F&B.

Turut hadir ialah Ketua Kaum Kampung Jawa Semenggok Lama, Saibon bin Sapar; Pengarah Pusat Khidmat Pelajar UNIMAS, Haji Zambari bin Haji Baijuri; serta Ketua Pegawai Psikologi UNIMAS, Saptuyah binti Barahim, bersama barisan kepimpinan kampung dan wakil organisasi setempat.

Penganjuran STEPS: CSR 2026 mencerminkan komitmen berterusan UNIMAS dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti dengan masyarakat melalui pemindahan ilmu, semangat kesukarelawanan dan inisiatif tanggungjawab sosial ke arah membina komuniti yang lebih sihat, berpengetahuan, prihatin dan sejahtera.

STEPS: CSR 2026 — Bersama Komuniti, Membina Kesejahteraan.

#UNIMAS #PsyConUNIMAS #STEPSCSR2026 #BulanKaunselingKebangsaan2026 #UNIMASPrihatin #KesejahteraanKomuniti

Total Views: 29