Advertisement

UniMAP Perkukuh Jaringan Komuniti, Santuni 35 Keluarga Angkat Menerusi Bakti Madani Mega 2026

Oleh : Dr. Abdullah Abdul Samat

KANGAR, 23 November 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik masyarakat menerusi penganjuran Program Bakti Madani Mega: Siswa Universiti Komuniti Madani UniMAP @ MEGA 2026 Parlimen Kangar yang melibatkan penyertaan seramai 120 mahasiswa dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan dan khidmat komuniti.

Program yang berlangsung dari 20 hingga 22 November 2026 itu menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara warga universiti dengan masyarakat setempat menerusi pendekatan turun padang, di samping menyemai nilai keprihatinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, program seumpama ini mencerminkan komitmen universiti untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, selain memperluas peranan mahasiswa sebagai pemangkin perubahan positif dalam komuniti.

“Universiti bukan sekadar berperanan sebagai institusi pendidikan yang melahirkan graduan berilmu dan berkemahiran, malah perlu menjadi sebahagian daripada masyarakat dengan memberikan sumbangan yang membawa manfaat secara langsung kepada komuniti.

“Penglibatan mahasiswa dalam program seperti ini memberi peluang kepada mereka untuk memahami realiti kehidupan masyarakat, menghayati nilai empati dan tanggungjawab sosial serta membina kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan. Inilah antara pengalaman penting dalam membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jati diri dan nilai kemanusiaan yang tinggi,” katanya.

Program berteraskan aspirasi Malaysia MADANI itu melibatkan penempatan mahasiswa bersama 35 keluarga angkat yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Kuala Perlis, Kayang dan Bintong.

Sebanyak 10 kampung menjadi lokasi pelaksanaan program, meliputi Kampung Warna Warni, Kampung Bahagia, Kampung Behor Temak, Kampung Wang Besar, Kampung Telok Jambu, Kampung Ujung Bukit, Kampung Syed Omar, Kampung Alor Lancang, Kampung Binjal dan Kampung Bangsal Lebah.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan secara bersama antara mahasiswa dan penduduk setempat, antaranya gotong-royong membersihkan kawasan masjid, khidmat penukaran minyak enjin motosikal secara percuma, gotong-royong kenduri rakyat serta sesi ramah mesra bersama keluarga angkat.

Penyertaan mahasiswa daripada lima fakulti utama UniMAP, iaitu Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Teknologi, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Teknologi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Teknologi serta Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Teknologi memperlihatkan komitmen warga universiti dalam menjayakan agenda kesukarelawanan dan khidmat kepada masyarakat.

Program ini turut diserikan dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Pengerusi Penganjur Bersama Program, Azihani Dato’ Ali yang juga Ahli Lembaga Pengarah Universiti di perkarangan Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UniMAP, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohamad Syahmie Mohamad Rasidi, barisan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni fakulti, jawatankuasa penganjur serta penduduk setempat.

Penganjuran program ini diharap dapat terus memperkukuh hubungan strategik antara UniMAP dengan masyarakat, sekali gus menyemarakkan budaya kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa demi melahirkan graduan holistik yang mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti dan negara.

Total Views: 4