Oleh : Dr. Noorina Hidayu Jamil
PAUH PUTRA, 15 November 2026 ARAU, PERLIS – Buat julung kalinya, seramai 22 orang alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kembali menjejakkan kaki ke alma mater menerusi Alumni Homecoming 2026: Alumni Back to Campus, sempena kemeriahan Sidang 2 Istiadat Konvokesyen UniMAP Ke-21.
Program anjuran Pusat Perhubungan Alumni UniMAP dengan kerjasama tujuh fakulti itu menjadi satu inisiatif istimewa dalam memperkukuh hubungan antara alumni dan universiti, di samping membuka ruang untuk mereka kembali mengimbau kenangan serta menyaksikan sendiri perkembangan UniMAP yang pernah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan kehidupan mereka.
Kehadiran para alumni yang mengenakan mafla khas Alumni Homecoming menyerlahkan semangat kebersamaan dan rasa bangga terhadap alma mater. Walaupun masing-masing kini sibuk dengan kerjaya, keluarga serta komitmen profesional, kesudian mereka meluangkan masa untuk kembali ke kampus membuktikan bahawa hubungan dengan universiti tidak terhenti selepas tamat pengajian.

Lebih membanggakan, sebahagian daripada alumni yang hadir merupakan antara kelompok terawal ketika era Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (KUKUM), yang kemudiannya berkembang menjadi UniMAP seperti yang dikenali hari ini.
Perjalanan mereka turut mencerminkan kepelbagaian kejayaan yang lahir daripada institusi ini. Ada dalam kalangan alumni yang kini berjaya membina syarikat sendiri dan bukan sahaja mencipta peluang untuk diri, malah turut membuka ruang pekerjaan kepada graduan UniMAP.
Lebih istimewa, seorang alumni yang kini membina kerjaya di California, Amerika Syarikat, turut mengambil kesempatan untuk pulang khas ke Malaysia bagi bersama-sama meraikan detik bersejarah ini.

Kehadiran alumni daripada pelbagai latar kerjaya dan generasi menjadikan Alumni Homecoming 2026 bukan sekadar sebuah program pertemuan semula, tetapi simbol kesinambungan hubungan antara alumni, universiti dan komuniti.
Program ini turut menjadi wadah untuk alumni berkongsi pengalaman, pencapaian serta perkembangan kerjaya selepas meninggalkan kampus, sekali gus memberi inspirasi kepada mahasiswa dan graduan baharu untuk terus melangkah dengan keyakinan dalam membina masa depan masing-masing.

Kepulangan mereka ke kampus juga membawa mesej bahawa kejayaan seseorang alumni bukan hanya diukur melalui pencapaian peribadi, sebaliknya turut dilihat melalui sumbangan yang diberikan kembali kepada universiti dan masyarakat.
Alumni Homecoming 2026 diharap dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program yang menghubungkan alumni dengan UniMAP secara lebih dekat dan berterusan, selaras dengan usaha universiti memperkukuh jaringan alumni sebagai sebahagian daripada ekosistem kecemerlangan institusi.
Kepada 22 alumni yang hadir, UniMAP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian kembali ke alma mater serta menjadi sebahagian daripada sejarah sulung Alumni Homecoming 2026.
Kehadiran mereka bukan sekadar menghidupkan kembali kenangan, tetapi turut mengukuhkan satu hakikat bahawa walau sejauh mana langkah membawa pergi, alma mater tetap menjadi tempat untuk kembali.












