Advertisement

MAHASISWA UniSZA ANGKAT EKONOMI KREATIF KOMUNITI PULAU REDANG, RANGKUL ANUGERAH KHAS DI UTC 3.0

KUALA NERUS, 29 Oktober 2026 – Kreativiti mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam menghasilkan inovasi berimpak kepada masyarakat terus membuahkan kejayaan apabila pasukan Quadra Vision Craft berjaya merangkul Anugerah Khas Kategori Gangsa dalam Program University to Community (UTC) 3.0.

Kejayaan tersebut diraih menerusi pertandingan yang berlangsung di Scholar’s Suites, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, sekali gus membuktikan keupayaan mahasiswa UniSZA menterjemahkan ilmu dan kreativiti kepada inisiatif keusahawanan yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.

Menerusi projek Perkasa Ekonomi Kreatif Pulau Redang, pasukan ini mengetengahkan penghasilan cenderamata mesra alam dengan memanfaatkan sumber semula jadi tempatan serta bahan kitar semula sebagai usaha memperkasa ekonomi kreatif dan potensi keusahawanan masyarakat setempat.

Pasukan Quadra Vision Craft dibarisi empat mahasiswa iaitu Mohamad Afsyam bin Mohamad Fouzi, Hadhif Riffqhi bin Henri, Muhammad Hasif bin Mohd Latif dan Muhammad Haziq Arif bin Nordin, dengan bimbingan mentor YBrs. Dr. Ruwaidy bin Mat Rasul dan Puan Che Wan Noorakma binti Abdullah.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama UPSI itu turut menyaksikan Pusat Kerjaya, Teknosahawan dan Jaringan Pintar (PaKaT) UniSZA bertindak sebagai penyelaras penyertaan mahasiswa universiti.

Pencapaian ini memperlihatkan mahasiswa bukan sekadar berperanan sebagai penuntut ilmu, malah mampu menjadi pencetus idea, penggerak inovasi dan rakan pembangunan komuniti melalui penyelesaian kreatif yang mengambil kira potensi serta keperluan masyarakat setempat.

Lebih bermakna, projek ini membuktikan bahawa kreativiti mahasiswa boleh menjadi pemangkin kepada kelestarian alam sekitar dan penjanaan ekonomi komuniti, khususnya dalam memanfaatkan keunikan sumber tempatan sebagai produk bernilai tambah.

Syabas dan tahniah kepada seluruh pasukan Quadra Vision Craft serta mentor atas kejayaan membanggakan ini.

UniSZA percaya mahasiswa berjiwa komuniti ialah mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut mampu mencipta perubahan dan membawa manfaat kepada masyarakat.

Total Views: 1