Teks/foto: Unit Kaunseling BHEPA USM
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 2 November 2026:- Mengupas realiti di sebalik tuntutan kecemerlangan yang semakin mencabar kehidupan mahasiswa, Segmen Celoteh Kaunselor Pelatih menerusi siaran langsung Facebook Unit Kaunseling BHEPA USM tampil dengan tajuk “Overachiever atau Overpressure: Bila Kejayaan Menjadi Tuntutan, Bukan Lagi Pilihan” bagi membuka perspektif tentang tekanan mengejar kejayaan dan kepentingan memelihara kesejahteraan psikologi.
Program anjuran Unit Kaunseling, BHEPA USM itu berjaya menarik penyertaan seramai 369 peserta sepanjang dua jam penganjurannya pada 29 Oktober 2026, dengan menampilkan dua orang Kaunselor Pelatih, Aida Nabila Muhammad Sabri dan Nurul Aida Batrisya Hussin sebagai panel jemputan, manakala Fatin Nabilah Raemie menggalas peranan sebagai moderator.
Perbincangan turut mengupas fenomena overachiever dan overpressure, termasuk perbezaan antara motivasi tinggi dengan kecenderungan menjadi overachiever, pengaruh perbandingan sosial, budaya kesibukan serta perfectionism dalam mengejar kecemerlangan akademik, kokurikulum dan peribadi, selain mengenal pasti tanda-tanda tekanan, membezakan keletihan biasa daripada burnout serta memahami kesannya terhadap kesejahteraan emosi dan psikologi.
Mahasiswa disaran agar mengenali had keupayaan diri, menyeimbangkan tuntutan akademik dengan kehidupan peribadi serta mendapatkan bantuan apabila berhadapan tekanan berpanjangan, selain memahami bahawa kejayaan bukan satu-satunya ukuran nilai diri dan kesejahteraan perlu dipelihara melalui rehat serta penetapan batas kemampuan.
Penganjuran program ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan melalui peningkatan kesedaran kesihatan mental, pemeliharaan kesejahteraan psikologi serta usaha Unit Kaunseling BHEPA USM membudayakan persekitaran kampus yang prihatin dan membantu mahasiswa mengurus jangkaan diri dengan lebih sihat.













