Advertisement

UMS PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK ANTARABANGSA BERSAMA UNIVERSITAS AIRLANGGA, INDONESIA

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) terus memperkukuh jaringan akademik antarabangsa menerusi penganjuran UMS–UNAIR International Seminar 2026 dengan kerjasama Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia.

Program yang berlangsung di FSSK, UMS itu menjadi wadah perkongsian ilmu, pertukaran pandangan akademik serta penerokaan peluang kerjasama dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan antara kedua-dua institusi.

Seminar dimulakan dengan sesi perbincangan awal mengenai potensi kerjasama akademik UMS–UNAIR, diikuti ucapan alu-aluan oleh Dekan FSSK, Profesor Dr. Asmady Idris, dan ucapan balas oleh Dr. Dewi Meyrasyawati, Naib Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan Komuniti, Fakulti Kemanusiaan, Universitas Airlangga, yang mewakili delegasi UNAIR.

Empat pembentangan akademik turut mewarnai seminar tersebut, melibatkan Dr. Johny Alfian Khusyairi dan Dr. Dewi Meyrasyawati dari UNAIR, serta Dr. Fauzie Sarjono dan Dr. Eko Prayitno Joko dari UMS.

Antara topik yang diketengahkan termasuk pembentukan keagamaan komuniti Madura Hindu, perspektif sempadan Malaysia–Indonesia, transformasi penghasilan literasi melalui media sosial serta pendekatan historiografi dalam memahami sejarah nasional.

Penganjuran seminar ini turut membuka ruang interaksi antara ahli akademik dan mahasiswa, sekali gus memperkayakan pengalaman pembelajaran melalui pertukaran perspektif serta wacana ilmiah merentas sempadan.

Inisiatif seumpama ini mencerminkan komitmen UMS dalam memperluas jaringan pengantarabangsaan, memperkukuh hubungan akademik serantau serta memartabatkan peranan universiti sebagai pusat perkembangan ilmu dan pemikiran kritis.

Total Views: 48