KUALA LUMPUR – Pasukan Adyakala Budi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul juara keseluruhan Pertandingan Berbalas Pantun sempena Temasya Pantun Kaunseling dan Kesihatan Mental (TEPAKK) 2026 yang berlangsung di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, baru-baru ini.
Kejayaan tersebut menyaksikan Pasukan Rentaka UiTM (UiTM A) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraih tempat kedua, manakala SGM Derhana (UM B) dan SGM Setagar (UM A) dari Universiti Malaya (UM) masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.
Pertandingan yang berlangsung dari 23 hingga 26 Oktober 2026 itu menghimpunkan 18 pasukan daripada sembilan institusi pengajian tinggi (IPT), sekali gus menyediakan platform kepada mahasiswa untuk mengetengahkan kreativiti dan kemahiran berpantun.

Bertemakan “Kesenian Penyembuh Jiwa”, TEPAKK 2026 menggunakan seni pantun sebagai medium kreatif untuk menyampaikan mesej kesedaran kesihatan mental dan kesejahteraan diri, di samping memelihara warisan budaya Melayu dalam kalangan generasi muda.
Temasya tersebut turut merangkumi Pertandingan Mencipta Pantun yang dibuka kepada masyarakat umum dari 1 hingga 30 Oktober 2026 bagi menggalakkan penyertaan lebih luas dalam penghasilan karya pantun.
TEPAKK 2026 dianjurkan oleh UIAM dengan kerjasama KPJ Healthcare, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA), selain mendapat sokongan Bank Simpanan Nasional (BSN), Sinar Harian dan PTS Media Group Sdn. Bhd.
Penganjuran temasya ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan mental melalui pendekatan seni dan budaya, selain menggalakkan penglibatan mahasiswa serta masyarakat umum dalam menjadikan pantun sebagai medium komunikasi yang mendidik dan menyatukan masyarakat.
Turut hadir ialah Dato’ Azhar Mohamad Yusof, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi; Puan Julia Alani Hendry, Pengarah DBP Wilayah Tengah; Encik Mohd Khairul Izzad Mohammed Shamsudin, Ketua Pegawai Kewangan KPJ Healthcare; Prof. Emeritus Datuk Ts. Dr. Rohana Yusof, Timbalan Naib Canselor (Pengalaman Pelajar dan Alumni), KPJ Healthcare University; Encik Saiful Redza Mohamed, Pengarah Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya; serta personaliti televisyen, Ahmad Fedtri Yahya.














