TANJUNG MALIM– Pasukan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jungle School Troopers, meraih tiga anugerah dengan membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM7,000 menerusi program University to Community 3.0 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),29 Oktober 2026.
Kejayaan tersebut merangkumi Anugerah Emas dengan hadiah wang tunai RM2,000, tempat kedua bagi kategori Pembentang Terbaik dengan hadiah RM2,000 serta tempat kedua bagi kategori Projek Terbaik yang menawarkan hadiah RM3,000.
Majlis penutupan program dan penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Pasukan Jungle School Troopers dibimbing oleh Penolong Profesor Dr. Norzalifa binti Zainal Abidin dari Jabatan Seni Gunaan dan Reka Bentuk, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), UIAM.
Pasukan tersebut terdiri daripada Danial Harith bin Mohd Hajanizam dan Hadif Hamadi bin Hatrihalobor dari Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan (AHAS KIRKHS), serta Amirul Ashraf bin Yusran dan Nur Irdina Rifqah binti Jeh-Asae dari KAED.

Penyertaan pasukan ini diselaraskan melalui kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan (EDC), UIAM, bagi memperluas penglibatan mahasiswa dalam bidang keusahawanan sosial dan pembangunan komuniti.
Pencapaian ini memperlihatkan keupayaan mahasiswa dalam menterjemahkan idea inovatif kepada projek berimpak melalui pendekatan keusahawanan sosial, di samping memperkukuh kerjasama antara universiti dengan komuniti.
University to Community 3.0 merupakan inisiatif kebangsaan yang bertujuan memupuk keusahawanan sosial dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi melalui pembangunan perusahaan berasaskan komuniti yang mampan, sekali gus menggalakkan penyelesaian kreatif terhadap keperluan masyarakat, mewujudkan peluang ekonomi dan menghasilkan impak sosial yang positif.
Program ini diterajui oleh UPSI dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) serta Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).
Kejayaan ini mencerminkan potensi mahasiswa UIAM sebagai peneraju inovasi dan keusahawanan sosial yang mampu menggabungkan kreativiti, pengetahuan serta kemahiran keusahawanan untuk menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada komuniti, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.













